Bangunan UMNO Di Jalan Segget Milikan Sah UMNO – Hasni

Bangunan UMNO Di Jalan Segget Milikan Sah UMNO – Hasni

ISKANDAR PUTERI, 14 Ogos – Ketua Pembangkang Johor Datuk Ir Hasni Mohammad menegaskan bahawa bangunan UMNO Johor di Jalan Segget, di pusat bandar Johor Baharu adalah pemilikan hartanah parti itu yang sah.

Hasni (BN-Benut), yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, cukai tanah bangunan itu juga dijelaskan parti itu sehingga kini.

“Ini adalah hak milik sahih. Kita (UMNO) ada hak miliknya, kita ada tanggungjawab pembayaran cukai dengan resit cukai juga ada.

“Bagi tahun 2018, bayaran berjumlah RM13,637 sudah dibuat dengan keluasan tanah membabitkan 468 meter persegi,” katanya yang ditemui pemberita di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu pemilikan bangunan UMNO di Jalan Segget yang dibangkitkan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Osman dalam jawapan lisan menyatakan bangunan UMNO di Jalan Segget itu disewakan parti berkenaan kepada pihak ketiga walaupun memiliki bangunan sendiri di Jalan Yahya Awal, di sini.

Jawapan Osman itu berkait dengan soalan dikemukakan Chen Kah Eng (PH-Stulang) berhubung status bangunan pejabat politik yang dibangunkan di atas tanah Kerajaan Negeri.

Hasni berkata, mengambil kira tanah itu milik UMNO dan sudah dibayar cukainya, maka, tidak mungkin tanah berkenaan tidak sah dari segi undang-undang.

“Jadi, saya harap, kita jelas bahawa pemilikan tanah itu dibuat melalui peruntukan yang terdapat dalam Akta Kanun Tanah Negara.

“Sama ada sebagai sebuah parti ataupun sebagai individu sememangnya kita layak memohon tanah itu dan dikurniakan atas nama Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor,” katanya.

Menurut Hasni, tanah bangunan UMNO itu adalah tanah yang dikurniakan pada 25 Okt, 1967 untuk tempoh pajakan 99 tahun yang akan berakhir pada 24 Okt, 2066.

Leave a Reply