Rancangan Kerajaan Negeri Tubuh Syarikat Air Tidak Wajar – Hasni

Rancangan Kerajaan Negeri Tubuh Syarikat Air Tidak Wajar – Hasni

ISKANDAR PUTERI, 13 Ogos — Barisan Nasional (BN) Johor berpendapat rancangan  Kerajaan Negeri untuk menubuhkan sebuah syarikat air Johor yang baharu, sebagai tidak wajar.

Ketua Pembangkang Datuk Ir Hasni Mohammad berkata ini kerana penubuhan syarikat air baharu itu akan melibatkan pelaburan yang lebih besar berbanding usaha meningkatkan penguasaan dalam syarikat air sedia ada supaya lebih kuasa untuk bersuara.

“Kerajaan Negeri BN, sebelum ini, telah pun ada perancangan untuk cara mengambil alih syarikat SAJ Ranhill, malah BN pernah ditawarkan pelbagai pihak untuk membantu bagi meningkatkan pegangan ekuiti dalam syarikat berkenaan.

“Jadi, untuk diadakan syarikat kedua ini, ia satu langkah yang bukan hanya merugikan syarikat sedia ada, malah akan membebankan kerajaan sehingga ke tahap ia boleh menggagalkan industri air dalam negeri Johor,” katanya yang ditemui pemberita sebagai mengulas rancangan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan sebuah syarikat air baharu.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Osman Sapian ketika menjawab soalan tambahan Ayub Jamil (BN-Rengit) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini, memberitahu bahawa Kerajaan  Negeri merancang untuk menubuhkan syarikat air Johor yang baharu dalam usaha memastikan tarif air di negeri ini dapat dikawal.

Mengenai jumlah kos yang diperlukan untuk menubuhkan sebuah syarikat air baharu, Hasni berkata, jika hasil dijadikan sandaran, maka usaha untuk mewujudkan syarikat air kedua itu bukan satu yang menguntungkan sama ada dalam jangka pendek mahu pun jangka panjang.

“Kita ada kira-kira 21,000 kilometer paip dan bagi setiap kilometer paip, hasil yang kita peroleh adalah jauh lebih rendah sekitar RM156 berbanding dengan negeri seperti Pulau Pinang yang meraih hasil kira-kira RM500 bagi satu kilometer paip.

“Jadi, bersandarkan hasil itu, maka jelas usaha untuk mewujudkan syarikat air kedua ini sebagai satu yang tidak menguntungkan sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek,” katanya.

Menurut Hasni, beliau berpandangan adalah lebih baik Kerajaan Negeri berbincang dengan Kerajaan Pusat bagaimana Kerajaan Negeri boleh memiliki SAJ Ranhill, yang ketika ini dimiliki pihak swasta kerana ia adalah langkah lebih munasabah.

Katanya terdapat pelbagai kaedah bagi Kerajaan Negeri memiliki pegangan utama dalam syarikat air termasuk perlunya campur tangan atau kerjasama dengan Kerajaan Pusat.

Leave a Reply