30 Akujanji Calon Presiden UMNO Akan Dikaji Dan Diteliti Untuk Dilaksanakan – Zahid

30 Akujanji Calon Presiden UMNO Akan Dikaji Dan Diteliti Untuk Dilaksanakan – Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Mesyuarat barisan kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO yang baru yang dipengerusikan buat kali pertama oleh Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membincangkan beberapa perkara termasuk soal-soal manifesto calon-calon presiden yang bertanding dalam pemilihan UMNO yang lepas.

Menurut Zahid, sebanyak 30 akujanji yang dibuat oleh dirinya sendiri, termasuk Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah ketika bertanding sebagai presiden UMNO akan dikaji dan diteliti untuk dilaksanakan.

“Kita harus bergerak ke hadapan dengan mengambil kira semua manifesto yang telah dilontarkan oleh calon-calon presiden di dalam pemilihan UMNO yang lalu. Di mana, saya sendiri ada 15 perkara yang akan dilaksanakan sekiranya saya menang, manakala Khairy Jamaluddin sebanyak lapan manifesto dan YM Tengku Razaleigh sebanyak tujuh manifesto.

“Jadi keseluruhan 30 akujanji ketiga-tiga tokoh ini akan diteliti dan diperincikan. Untuk itu, Majlis Tertinggi telah melantik Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mewujudkan satu badan bertindak bagi melihat pelaksanaan kesemua atau sebahagian akujanji berkenaan.

“Kita akan memberikan keutamaan kepada segala manifesto yang mana yang perlu dilaksanakan dalam tempoh sederhana dan jangkamasa panjang,” ujarnya ketika bercakap kepada pemberita  selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bahawa tidak ada perbincangan mengenai pelantikan jawatan tambahan terhadap pegawai-pegawai dan majlis tertinggi yang dibuat di dalam mesyuarat ini.

“Saya akan mengadakan perundingan dengan timbalan presiden dan naib-naib presiden bagi jawatan-jawatan berkenaan kerana kita mahu mempunyai beberapa pendekatan untuk menilai personaliti dan tokoh-tokoh yang kita lantik.

“Mesyuarat ini juga merupakan mesyuarat kali terakhir buat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung UMNO Malaysia dan juga mesyuarat kali terakhir untuk Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Setiausaha Kerja UMNO Malaysia.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Tengku Adnan  yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang sebagai Setiausaha Agung. Begitu juga kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Setiausaha Kerja UMNO Malaysia,” ujarnya. – UMNOOnline

Leave a Reply