Khaled Nordin Sah Naib Presiden UMNO Ketiga – Tengku Adnan

Khaled Nordin Sah Naib Presiden UMNO Ketiga – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 1 Julai  — Bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini disahkan sebagai Naib Presiden UMNO yang ketiga dalam pemilihan parti bagi sesi 2018-2021.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, namun beliau tidak mendedahkan jumlah undi yang diperoleh Khaled.

Carian di laman web UMNO tidak menemui jumlah undi diterima Khaled dan akaun Twitter Pemilihan UMNO 2018 pula menyebut beliau menerima 91 undi sehingga 3.30 petang ini.

Semalam, dua daripada jawatan itu diisi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang masing-masing mendapat 146 dan 99 undi.

Satu lagi kekosongan jawatan itu tidak dapat diumumkan kerana ada bahagian yang belum selesai mengira jumlah pengundian.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata hasil undian dan pemilihan empat bahagian khasnya di Kelantan tidak dapat diterima lagi pihaknya berikutan masalah teknikal yang turut berlaku di Bahagian UMNO Bakri.

Beliau berkata masalah-masalah tersebut tidak menjejaskan keputusan pemilihan UMNO secara keseluruhannya.

Perwakilan daripada 191 Bahagian UMNO menunaikan tanggungjawab masing-masing mengundi bagi memilih kepimpinan tertinggi parti itu bermula pagi semalam.

UMNO sedang dalam proses memilih pentadbiran baharu selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai presiden parti dan pengerusi Barisan Nasional (BN) ekoran kekalahan mengejutkan dialami gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Leave a Reply