UMNO Johor Serah Laporan Siasatan Pemutihan Bahagian Mersing

UMNO Johor Serah Laporan Siasatan Pemutihan Bahagian Mersing

JOHOR BAHRU: UMNO Johor hari ini menyerahkan hasil siasatan terhadap isu pemutihan yang dijalankan parti itu di peringkat Bahagian Mersing kepada Ibu Pejabat untuk tindakan selanjutnya.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata beliau menyerahkan laporan itu kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kuala Lumpur, jam 12 tengah hari tadi.

Katanya, UMNO Johor kini menunggu keputusan yang akan dibuat Ibu Pejabat berhubung perkara itu sebelum tarikh pencalonan untuk pertandingan parti ditutup 17 Jun ini.

“Ketika proses siasatan, semua nama yang disenaraikan dalam pemutihan di Bahagian Mersing dipanggil ke Ibu Pejabat UMNO negeri. Bagaimanapun ada beberapa ahli tidak hadir, dengan bersurat.

“Ibu Pejabat mesti membuat keputusan dalam tempoh terdekat dan saya jangkakan mungkin esok atau sebelum Aidilfitri selesai (keputusan dibuat),” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Pada 5 Jun lalu, UMNO Johor melantik Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat isu berkenaan.

Difahamkan, hampir 90 daripada 99 nama membabitkan 20 cawangan dalam Bahagian Mersing yang digantung keahlian bagi tujuan pemutihan hadir ke Ibu Pejabat UMNO Johor selama dua hari proses siasatan itu dijalankan.

Pada 25 Mei lalu, Ketua UMNO Bahagian Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, mengesahkan seramai 99 ahli di bahagian itu digantung keahliannya bagi tujuan pemutihan.

Katanya, meskipun tindakan itu bukan budaya bahagiannya, ia perlu demi parti.

Leave a Reply