UMNO Johor Hormati Keputusan Hishammudin Tidak Tanding Jawatan UMNO Pusat

UMNO Johor Hormati Keputusan Hishammudin Tidak Tanding Jawatan UMNO Pusat

JOHOR BAHRU, 10 Jun – UMNO Johor menghormati keputusan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat pada pemilihan parti itu 30 Jun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan Naib Presiden UMNO itu diterima pihaknya walaupun ia sesuatu yang memeranjatkan dan mendukacitakan.

“Kita terpaksa menghormati keputusan Datuk Seri Hishammuddin yang berasa ingin ambil tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (pada Pilihan Raya Umum ke-14) dan hanya ingin tumpu kepada kedudukannya di peringkat Bahagian sahaja,” katanya.

Pada masa sama, katanya, UMNO Johor gembira kerana Hishammuddin tidak meninggalkan parti berkenaan.

“Beliau masih lagi Ketua UMNO Bahagian di Johor (bertanding Ketua UMNO Bahagian Sembrong). Sudah tentu beliau mempunyai banyak masa dan pastinya dapat menyumbangkan usaha untuk kita memulih dan menguatkan UMNO di Johor,” katanya.

Mohamed Khaled memberitahu demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan keperluan kepada 60 golongan asnaf di Rumah Pangsa Seri Alam Tasek 64 di sini, hari ini.

Dua hari lepas, Hishammuddin mengumumkan tidak bertanding jawatan pusat pada pemilihan parti kali ini bagi membolehkan beliau bekerja lebih keras membantu membangunkan semula UMNO bermula dari Johor selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lepas.

Katanya karier politik beliau tidak akan berakhir dan beliau tidak akan meninggalkan UMNO.

Beliau turut berharap langkah berkenaan disedari pemimpin dan anggota UMNO bahawa jawatan bukan perkara penting dalam perjuangan parti itu sebaliknya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Leave a Reply