Bukti Baharu Tidak Kuat?

Bukti Baharu Tidak Kuat?

MUKADIMAH:

Umpama menyerah kalah sebelum berperang. Itu perumpamaan yang menggambarkan tindakan Malaysia menarik diri

diri daripada semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh sedangkan terdapat tiga bukti baharu yang diyakini mampu membantu dalam tuntutan Malaysia ke atas Pedra Branca.

Tiga bukti yang berjaya dikumpul ialah surat-menyurat antara Gabenor Singapura dengan British, memo insiden maritim Labuan Haji 1958 dan operasi pemetaan tentera laut yang sekurang-kurangnya memberi peluang kepada Malaysia dalam tuntutan tersebut.

Namun keputusan kerajaan Pusat menarik balik semakan ke atas tuntutan pulau tersebut bukan satu contoh keputusan yang baik kerana bukan sahaja tidak disertakan dengan alasan kukuh, malah diputuskan ketika Peguam Negara sedang bercuti, sekali gus memberikan satu mesej moral tidak baik, iaitu mengambil sikap berputus asa.

Kepada Wartawan Mingguan Malaysia, LUQMAN HAZIQ ABDULLAH dan NURUL HUDA HASSAN, bekas Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan Pakatan Harapan dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang disifatkan beliau hanya membisu dan tidak sedikit pun bersuara menyatakan pendirian kerajaan negeri berkaitan perkara tersebut.

H: 3 bukti baharu tidak kuat?

SH: Kerajaan Pakatan Harapan didesak beri penjelasan keputusan tarik balik rayuan kes Pulau Batu Puteh

MINGGUAN: Datuk Seri dengan lantang mempersoalkan tindakan kerajaan Pusat untuk tidak meneruskan prosiding mencabar keputusan ICJ ke atas kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca). Apa komen Datuk Seri?

MOHAMED KHALED: Pada tahun lepas kita diberitahu penemuan bukti baharu berhubung Pulau Batu Puteh, maka kita bersetuju supaya rayuan dibuat atas keputusan pada tahun 2008. Macam saya kata, kita kena bersungguh-sungguh, kita kena berhabis-habisan walaupun mungkin pada akhirnya keputusan tidak berpihak kepada kita, namun sekurang-kurangnya kita berpuas hati kerana sudah berusaha dan bukan tidak berbuat apa-apa.

Pada masa sama, kita juga memberi gambaran kepada dunia luar sebab negara kita ini pantainya luas dan banyak konflik dan pertikaian dengan banyak negara terhadap wilayah-wilayah yang bertindih. Jadi, kita kena tunjukkan bahawa kita akan mempertahankan apa yang menjadi hak kita dan sebagainya. Kita nak tunjukkan mesej itu dan atas sebab itu, apa yang telah kita mulakan kita amat kecewa kerana kerajaan Pusat tidak meneruskan kes rayuan tersebut dan dan bukan itu sahaja, malah tanpa beri apa-apa alasan. Adakah tidak yakin dengan bukti-bukti yang ada itu?

Saya juga ingin bertanya, siapa atau pihak mana yang beritahu kerajaan bahawa bukti itu tidak kuat dan sebagainya dan mengapa boleh pula orang itu kata bukti tersebut tidak kuat sedangkan pada masa itu belum ada Peguam Negara kerana sedang bercuti. Jadi, siapa orang yang memberi mereka input dan nasihat kepada Kabinet sehingga keputusan dibuat untuk tidak meneruskan rayuan ke atas Pulau Batu Puteh.

MINGGUAN: Macam mana Datuk Seri melihat pendirian kerajaan negeri Pakatan Harapan yang agak membisu yang disifatkan banyak pihak hanya mengikut telunjuk kerajaan Pusat?

MOHAMED KHALED: Ini satu kes yang kita dapat tahu, kita bernasib baik tapi kita dapat lihat kerajaan negeri diam dan membisu dan kita khuatir apabila ada insiden atau pekara lain yang melibatkan kepentingan Johor, kerajaan negeri tidak ambil pendirian yang boleh menjaga kepentingan negeri ini.

Jadi, atas sebab itu, kita minta kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar yang baharu supaya peka dan kes seperti Pulau Batu Puteh tidak berulang kerana kita percaya akan ada banyak insiden atau keadaan di mana Johor mesti ada pendirian dan pandangannya sendiri, bukan untuk membantah Kuala Lumpur tetapi supaya Kuala Lumpur dapat membuat keputusan yang betul-betul baik untuk Johor dan semua.

MINGGUAN: Tapi kerajaan negeri seolah-olah dilihat lepas tangan dan menyalahkan BN atas kehilangan Pulau Batu Puteh?

MOHAMED KHALED: Kita ini bukan berada dalam zaman di mana apa sahaja pemimpin cakap itu adalah betul, kita ini sekarang berada dalam zaman orang berfikir dan berilmu. Jadi, bila satu-satu perkara itu jawapan yang diberi macam ‘tangkap muat’, saya nak komen pun kadang-kadang malas sebab dia akan membodohkan diri kita…sebab itu saya susah nak jawab.

Rakyat ini semua bukan budak-budak, kita semua pun bukan budak-budak, maka segala perkara yang dikemukakan dan sebagainya mesti ada alasan dan jawapan yang kukuh, bukannya ‘brush aside’. Dia (Menteri Besar) kata saya meroyan…saya nak beritahu, kalau isu Pulau Batu Puteh dia kata saya meroyan, saya ingat rakyat Johor boleh menilai Menteri Besar yang ada ini.

MINGGUAN: Tun Mahathir ada mengumumkan rancangan untuk membangunkan Batuan Tengah menjadi pulau strategik mendekati pintu masuk laluan timur selat sepanjang 100 kilometer, merupakan salah satu laluan paling sibuk dilalui banyak kapal di dunia menuju pelabuhan Singapura. Pandangan Datuk Seri?

MOHAMED KHALED: Tidak apalah, itu satu keputusan baru. Itu saya harap ia satu tindakan yang betul dan tepat. Kita ini walaupun pembangkang bukan maknanya semua perkara kita nak membangkang…soal nak dibangunkan Batuan Tengah, itu terpulang pada mereka tapi soal kedaulatan Pulau Batu Puteh, itu soal lain.

MINGGUAN: Tapi Datuk Seri katalah setelah didesak, memorandum bantahan juga sudah dihantar…mereka tetap dengan keputusan itu?

MOHAMED KHALED: Saya percaya akan terpahat dalam sejarah bahawa siapa yang tidak menjaga kedaulatan Malaysia dan Johor. Pada ketika itu orang akan cakap itulah salah kerajaan Pakatan Harapan. Jadi, Menteri Besar pada ketika itu barulah boleh cakap ia adalah salah kerajaan Pakatan Harapan.

Sebab pada tahun 2008 kes itu dibawa ke mahkamah. Keputusan mahkamah dan buktinya diambil pada surat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Setiausaha Kerajaan Negeri bukan Barisan Nasional (BN) ketika itu tetapi apabila rayuan tidak diteruskan, apabila kita ada peluang untuk menang…itulah baru salah kerajaan Pakatan Harapan.Yang mana ia diputuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan tidak dibuat apa-apa oleh Menteri Besar yang namanya Datuk Osman Sapian.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat pandangan rakyat apabila kerajaan Pusat membuat keputusan tidak meneruskan rayuan itu?

MOHAMED KHALED: Sekarang ini rakyat mungkin tidak nampaklah sebab sekarang ini apa sahaja kerajaan Pakatan Harapan buat semuanya ‘harum’ tapi saya percaya, masa akan menentukan.

MINGGUAN: Jadi, Datuk Seri dengan tiga bukti yang dikemukakan, apa pendirian kerajaan BN sebelum ini, adakah melihat ia ada peluang atau tiada?

MOHAMED KHALED: Disebabkan ada bukti baharu itu, maka kita pun buat rayuanlah. Jadi, kita akan berpuas hati apa pun sebab kita dah cuba sehabis yang mungkin dan bukannya membuat keputusan untuk menarik balik semakan kehakiman ke atas Pulau Batu Puteh dan tidak meneruskan proses rayuan itu. Atas sebab itu juga, kita minta kerajaan negeri memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai keputusan tersebut. Takkan hanya nak berdiam diri menyaksikan kehilangan kedaulatan Johor. Penjelasan sejujurnya perlu diberitahu kepada rakyat.

MINGGUAN: Selain isu Pulau Batu Puteh, kerajaan Pusat turut mengumumkan untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan perlu membayar ganti rugi lebih RM500 juta kepada Singapura. Apakah justifikasi dan kesannya pembatalan projek itu kepada Malaysia, amnya dan Johor khususnya yang bersempadanan dengan Singapura?

MOHAMED KHALED: Pasal HSR ini satu sahaja saya nak cakap, bahawa kalau dulu saya kata ia adalah ‘game changer’ dan ¬†berpotensi membongkar pembangunan, takkan sekarang saya nak cakap bukan ‘game changer’ dan sebagainya. Saya masih dengan pendapat itu, soalnya kalau kerajaan Pusat berpendapat bahawa ia menelan kos yang tinggi dan sebagainya, mungkin mereka kena fikirkan sesuatulah sebab suatu hari nanti projek ini perlu atau tidak dan kalau ia perlu, kosnya pada waktu itu pasti akan meningkat.

Soalnya, projek sebesar ini yang penting untuk membangunkan ekonomi Johor khususnya, bilakah masa yang tepat dan sesuai untuk dibangunkan…sampai bila-bila pun orang akan kata tak sesuai. Jadi, kalau ia penting untuk Johor, kalau perlu dibuat ia mestilah dibuat. Kalau nak bandingkan dengan jambatan bengkok, HSR itu mungkin lebih baik.

MINGGUAN: Projek mega lain di Johor seperti Forest City dahulu sering dimainkan Pakatan Harapan tetapi tiba-tiba sekarang mereka sekan-akan senyap bila dah dapat memerintah. Apa pandangan Datuk Seri?

MOHAMED KHALED: Itu kita serah pada kerajaan yang barulah apa pandangan, apa tindakan dan sebagainya. Memanglah projek pembangunan hartanah ada ‘pro and cons’ dan sebagainya. Jadi, saya percaya apa pun tindakan kerajaan negeri yang baharu ini tiada masalah…pada saya tak ada masalah dan terpulang kepada mereka.

Soalnya begini, kerajaan Pusat menawarkan untuk menjadi kerajaan berasaskan antara lain mereka berpendapat bahawa pelaburan dari China, pelaburan yang berbentuk pembangunan perumahan hartanah ini bukan sesuatu yang sangat penting atau sangat perlu dan bukannya keutamaan. Oleh itu, saya serahlah kepada mereka, itu dah jadi dia punya janji tapi kalau dah jadi kerajaan mereka berpandangan berbeza pula seperti mana semua manifesto tidak dapat dilaksanakan, maka saya tidak pelik.

MINGGUAN: Sebagai seorang pentadbir negeri sebelum ini, apa yang Datuk Seri dapat lihat dan apa yang perlu dilakukan Pakatan kerajaan negeri Pakatan Harapan untuk memenuhi manifesto mereka, sebab rakyat tengah memerhatikan semua itu?

MOHAMED KHALED: Saya dah kata dah manifesto mereka adalah populis, tak boleh pun dibuat dalam masa yang telah ditentukan, melainkan mereka mempunyai kedudukan kewangan dan hasil yang betul-betul secara berterusan kuat dan kukuh. Kalau sekadar apa yang ada ketika ini, ia masih belum cukup.

Mereka sepatutnya jadi kerajaan dahulu dan tunjukkan kemampuan meningkatkan hasil, barulah boleh buat selepas itu kerana jika tidak ia memang akan makan rizab yang telah disimpan. Rizab yang saya simpan itu ada tujuan tertentu, nanti saya akan beritahu kenapa saya simpan rizab itu yang sebenarnya akan membawa manfaat sangat besar untuk rakyat Johor. Itu nanti saya akan kongsikan dan beritahu.

 

RENCANA di Utusan Malaysia, 10 Jun 2018

Leave a Reply