Perkuatkan Akar Umbi Untuk Pastikan UMNO Kembali Jadi Tempat ‘Berteduh’

Perkuatkan Akar Umbi Untuk Pastikan UMNO Kembali Jadi Tempat ‘Berteduh’

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Bekas Exco Pemuda UMNO, Ali Mazat Salleh berkata sebatang pokok yang kukuh adalah kerana akar tunjangnya yang kuat dan itulah sebenarnya yang perlu ada di dalam UMNO.

“Begitu jugalah UMNO, kita perlu perkuatkan semula akar umbi kita dengan suntikan baru yang lebih cergas, yang segar, yang jujur, yang komited dan paling penting yang faham akan perjuangan dan matlamat parti UMNO itu sendiri.

“Jangan terlalu sibuk dengan soal buah dan bunga yang akan keluar… mana mungkin kita dapat hasil buah dan bunga yang baik kalau akarnya tidak sempurna dan kuat. Begitu jugalah UMNO umpama sepohon pokok.

“Kalau lemah akarnya mudahlah tumbang ditiup angin, nak jadi tempat Melayu bersandar pun tidak mampu untuk bertahan ini kan pula nak jadi tempat berteduh orang-orang Melayu dari panas dan hujan,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tegasnya lagi yang juga mantan ADUN Bukit Permai, lantaran itulah persidangan UMNO kali ini begitu penting kepada semua ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan.

“Perkuatkanlah cawangan-cawangan kita. Pilihlah kepimpinan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan mempunyai semangat perjuangan yang jitu bagi kelangsungan perjuangan parti UMNO.

“Yang penting amanah dan jujur kepada parti dan diri sendiri. Insya-Allah kalau kuat UMNO di Cawangan, kuatlah UMNO di Bahagian, kuat UMNO Bahagian maka kuatlah UMNO di negeri, kuat UMNO di Negeri akan menentukan kuatnya UMNO di Pusat,“ katanya lagi. -UMNOOnline

Leave a Reply