Khaled Nordin Mampu Bawa Sinar Baharu Pada UMNO

Khaled Nordin Mampu Bawa Sinar Baharu Pada UMNO

PENGUMUMAN Pengerusi Ba­­risan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO di pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang semalam dijangka memberi sinar baharu kepada parti itu.

Kenyataan itu sebenarnya amat dinanti-nantikan UMNO Johor. Bagi penulis, Mohamed Khaled adalah figura penting, berkredibeliti dan berwibawa dari negeri ini untuk diketengahkan sebagai calon Naib Presiden sekali gus melakukan transformasi.

Beliau merupakan tokoh UM­NO Johor yang paling ideal dan karismatik untuk membawa ser­ta menyuntik perubahan de­ngan formula baharu lebih segar dan berkesan.

Ketokohan beliau tidak boleh dinafikan sama ada oleh lawan atau kawan.

Keputusan bekas Menteri Besar itu wajar disokong UMNO Johor setelah melihat parti berke­naan terbungkam dan longlai dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Antara sebab utama beliau mencalonkan diri untuk me­nyandang jawatan tersebut kerana mahukan perubahan dimulakan dalam kemudi parti. Justeru, satu pasukan baharu yang lebih berani mendepani cabaran pasca PRU-14 perlu dibentuk dan diformulasikan.

Mungkin akan ada suara-suara sinis mengaitkan kekalahan be­liau yang teruk semasa bertan­ding kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada PRU-14 dengan kemampuan beliau. kekalahan itu tidak boleh dijadikan ukuran kemampuan beliau.

Ini kerana Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu sudah me­lakukan yang terbaik bukan sahaja sebagai wakil rakyat Permas tetapi juga sebagai Menteri Besar.

Beliau kecundang bukan di­­­sebabkan kelemahan atau kega­galannya tetapi isu nasional hingga dirinya menjadi korban.

Trek rekod beliau sebagai Menteri Besar sejak 2013 harus dijadikan rujukan walaupun mungkin ada yang akan berkata, memimpin sebuah negeri yang maju tidak sama memimpin sebuah parti yang seakan sudah berada di hujung nyawa.

Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar ke-15 bagi penggal lalu berjaya memacu negeri ini ke tahap cemerlang dan sukses.

Malah sebelum PRU-14 beliau merangka perancangan yang menakjubkan untuk negeri ini melalui Dekad Baharu Johor.

Segala pembaharuan dan da­­­­sar-dasar progresif diper­ke­nal­kannya untuk Johor de­ngan sasaran jelas untuk dicapai.

Pengalaman beliau selaku pemimpin tertinggi negeri me­la­yakkan beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Kriteria lain yang ada pa­da Mohamed Khaled mela­yak­kannya duduk di kerusi Naib Presiden UMNO adalah kelantangan dan keberaniannya. Beliau adalah pemimpin UMNO yang berani menegur kepimpinan tertinggi.

Semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang pada Ogos 2015, beliau tanpa berselindung menyatakan kemelut yang me­landa kepemimpinan dan negara pada masa tersebut walaupun di hadapan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau tidak gentar menyampaikan secara berterus-terang me­ngenai isu-isu besar antaranya 1Malaysia Develoupment Berhad (1MDB), Felda, cukai barang dan perkhidmatan (GST), kejatuhan ringgit dan kos sara hidup tinggi yang menggugat hidup rakyat.

Begitu juga rombakan Kabinet yang kebetulan melibatkan tokoh utama politik dari Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disingkirkan tanpa sebab kukuh turut disentuhnya.

Beliau meminta segala kegelisahan yang berpunca daripada isu-isu itu dirunkaikan.

Ini ciri-ciri kepimpinan yang harus ada terutama untuk menduduki kerusi Naib Presiden UMNO.

Parti itu tidak memerlukan pemimpin yang kaki bodek dan kuat ‘menjilat’ lebih-lebih lagi dalam proses untuk memulihkan UMNO serta membantu semula ‘kelahirannya’.

Dalam usaha menyembuhkan UMNO untuk kembali pulih, sekiranya Mohamed Khaled di­pilih sebagai Naib Presiden UMNO, beliau memerlukan re­gu yang serasi, mantap dan mampu memberikan sumba­ngan cemerlang serta memba­wa perubahan meski­pun akan mengambil masa lama.

Apabila Mohamed Khaled menyatakan kesediaan bertan­ding jawatan Naib Presiden UMNO, langkah berkenaan tepat sekali kerana berkait rapat de­ngan sejarah penubuhan UMNO di tangga Istana Besar Johor pada 1946.

Johor ini yang menjadi kubu UMNO musnah dalam PRU-14 namun kini dalam proses untuk dibina semula.

Penyertaan Mohamed Khaled diharap akan menjadi pencetus kebangkitan UMNO dengan pengisian roh dan semangat asalnya untuk bangsa, agama dan negara.

 

Rencana Utusan Malaysia, 5 Jun 2018

 

Leave a Reply