UMNO Perlu Bijak Urus Kepelbagaian Isu Agar Parti Terus Bangkit Dan Dinamik

UMNO Perlu Bijak Urus Kepelbagaian Isu Agar Parti Terus Bangkit Dan Dinamik

KUALA LUMPUR, 01 Jun – UMNO Johor hari ini mengajak seluruh ahli parti untuk bangkit dengan semangat serta pemikiran baru dalam usaha membantu parti terus bergerak ke depan.

Setiausahanya Datuk Md Jais Sarday berkata kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu menyerlahkan segala-galanya antaranya kegagalan dalam menangani isu yang dikaitkan dengan Perdana menteri, ketinggalan cara politik baru selain daripada soal kehidupan, kesejagatan, multi-racial, kebebasan, ketelusan termasuklah kegagalan mendapakan sokongan bukan Melayu.

Serentak itu katanya, untuk bangkit dan bergerak ke depan, parti perlu bijak untuk menguruskan kepelbagaian isu yang ada di dalam minda rakyat.

“UMNO dan BN kena urus kepelbagaian isu yang ada di dalam minda rakyat. Generasi muda Melayu telah menerima idea kepelbagaian, multi-racial dan sebagainya lagi. Soal pembangunan adalah tanggungjawab sesiapapun yang menjadi kerajaan.

“UMNO dan BN perlu pemimpin yang mampu mengendalikan ideologi moden ini. Sekiranya asyik menyingkap sejarah silam dan mencungkil kesilapan sesama kita, ia tak membawa apa-apa erti,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, baru-baru ini.

Pada masa yang sama beliau turut menyarankan agar soal kaderisasi di dalam parti diberikan tumpuan sepertimana yang disebutkan di dalam Perlembagaan UMNO Fasal 3, Perkara 3.1 hingga 3.6.

“Dalam masa yang sama, kita dah lama tidak melakukan kaderisasi. PDIP bangkit di Indonesia sebab gerakan kaderisasi besar-besaran, sehinggakan untuk menjadi ketua cawangan pun mesti ada sijil kursus asas parti.

“Manakala LDP bangkit di Jepun disebabkan penjenamaan dan membuka ruang kepada pemimpin muda yang kontemporari.

“Tetapi Golkar di Indonesia tak boleh nak bangkit disebabkan sejak parti jatuh, pengikut berpecah mengikut pemimpin tertentu. Dalam pilihan raya meraka yang lepas, sebahagian ikut Jusuf Kalla sokong Jokowi, sebahagian lagi sokong Prabowo, sebabnya, masing-masing mahu mengintai kepentingan kumpulan masing-masing. Jom bangkit dgn pemikiran dan semangat baru,” katanya lagi

Leave a Reply