UMNO Johor Kecam Tindakan Kerajaan Negeri

UMNO Johor Kecam Tindakan Kerajaan Negeri

JOHOR BAHRU – Arahan penamatan perkhidmatan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Negeri Johor melalui surat Menteri Besar bertarikh 28 Mei dan berkuatkuasa esok, memeranjatkan banyak pihak.

Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bukan sahaja masa yang diberi hanya dua hari, tetapi tindakan tersebut dilihat tergesa-gesa, bermotif dendam dan tidak mempunyai asas atau justifikasi yang jelas dan kukuh.

“Sekiranya penamatan mengejut dan serta merta semua ketua kampung dan ketua masyarakat tersebut dibuat atas dasar mengurangkan bebanan kewangan kerajaan negeri, seperti yang dilakukan di peringkat kerajaan persekutuan, ia adalah tidak munasabah.

“Ini kerana Johor adalah negeri yang mempunyai bajet surplus atau lebihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Johor tidak seharusnya menjadikan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat sebagai entiti politik yang harus dicantas dan dibuang tanpa sebab dan dengan cara tidak bertanggungjawab.

“Berbeza dengan Jasa atau BTN, Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat adalah mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik dan hanya memfokuskan kepada khidmat masyarakat di kawasan tempatan mereka.

“Tindakan menamatkan perkhidmatan mereka secara serta merta dan mengejut tidak ubah seperti satu cubaan kerajaan negeri untuk menunjuk kuasa kepada pemimpin peringkat rendah masyarakat. Ini adalah satu tindakan yang angkuh dan tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata, penamatan mengejut dan serta merta tersebut dilakukan tanpa melakukan sebarang penilaian yang telus atau semakan prestasi objektif terhadap ketua-ketua kampung dan ketua masyarakat.

“Perkara ini jelas bermotifkan dendam dan politik. Terutamanya notis penamatan perkhidmatan tersebut disertakan dengan permohonan cadangan bagi pelantikan Ketua Kampung atau Ketua Masyarakat yang baharu.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri bersikap sangat ‘political’, terburu-buru dan tidak profesional dalam menguruskan pemimpin masyarakat peringkat rendah,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Umno Johor mengecam tindakan tersebut dan menggesa agar penamatan perkhidmatan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat tersebut disemak semula oleh kerajaan negeri.

Leave a Reply