Segera Lantik Pengerusi Baharu Felda: Shahrir

Segera Lantik Pengerusi Baharu Felda: Shahrir

JOHOR BAHRU – Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) diharap dapat mempercepatkan proses lantikan baharu pengerusi dan lembaga pentadbiran Felda bagi membolehkan agensi milik kerajaan itu mengekalkan kestabilan dan proses pemuliharaannya.

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sepatutnya lantikan itu yang harus diberikan keutamaan bagi mengelakkan sebarang penangguhan hala tuju agensi tersebut selepas ini.

Menurutnya, perkara itu adalah merangkumi proses urus tabir, penilaian soal kewangan dan juga maklumat terkini yang mahu diperincikan sekali gus membina semua keyakinan rakyat terutamanya warga Felda terhadap pengurusan dalaman agensi itu sendiri.

“Jika tidak dilantik segala proses sedang dijalankan kini (pemuliharaan) akan terencat, tambah lagi dengan adanya ura-ura nak adakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas ini, semestinya boleh menimbulkan masalah kepada Felda itu sendiri.

“Inilah kebimbangan saya bahawa dalam kerajaan baru sepatutnya keutamaan adalah untuk menentukan segala agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, Tabung Haji dan sebagainya harus dilantik kepimpinan baharu terutamanya di peringkat lembaga.

“ Ini kerana proses pemulihan itu harus diteruskan, yang mana contoh paling mudah kita boleh tengok adalah seperti proses pembayaran duit raya yang sudah menjadi tradisi Felda itu harus diputuskan oleh Lembaga Felda sendiri. Jika tiada lantikan sampai sekarang ataupun sengaja dilengah-lengahkan yang menjadi mangsa nanti semestinya peneroka sendiri dan itu tidak adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan Umno Kali Pertama Selepas PRU14 di Pejabat Umno Johor, di sini.

Shahrir berkata, sehubungan itu beliau berharap kerajaan baharu khususnya bagi pihak Majlis Penasihat Kerajaan untuk segera mempertimbangkan perkara ini yang mana secara tidak langsung mampu membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak.

“Sebab itulah saya  mendesak agar seorang pengerusi Felda dilantik dengan segera,” katanya.

Dalam masa sama, Shahrir turut mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada seorang pun wakil rasmi daripada lembaga Felda terkini yang dipanggil Majlis Penasihat untuk perbincangan mengenai agensi tersebut.

Sebaliknya, jawatankuasa khas terbabit memanggil individu yang sudah tidak berkhidmat dalam agensi berkenaan iaitu mantan Ketua Pengarah Felda terdahulu.

“Saya tidak dengar pula ura-ura mahu memanggil saya tapi pelik juga bila mereka panggil wakil Felda, dipanggilnya manta ketua pengarah bukan pengarah besar yang sedia ada. Sedangkan bagi badan-badan lain seperti FGV mereka panggil presiden dan ketua eksekutifnya.

“Pelik kenapa dia tidak memanggil pengarah sedia ada kerana kalau diikutkan yang ada sekarang boleh memberikan maklumat lebih tepat dan semasa selain membantu kerajaan baharu untuk keputusan yang tepat.

“Ini yang saya nampak macam ada sedikit keganjilannya dan sepatutnya Majlis Penasihat mesti mendapat fakta terkini dan tepat serta memainkan peranan sebagai penasihat, kepada kerajaan yang baharu ini. Malah kalau dia panggil saya, saya pun sudi datang kerana tiada apa yang ingin disembunyikan,” katanya. -Sinar

Leave a Reply