Harap Tiada ‘Sesi Balas Dendam’

Harap Tiada ‘Sesi Balas Dendam’

KOTA TINGGI – Kerajaan negeri baharu diharap tidak menggunakan ‘sesi balas dendam’ terutama dalam memberi bantuan kepada penduduk di kawasan wakil rakyat BN.

Adun Panti, Hahasrin Hashim berkata, ini kerana kerajaan terdahulu tidak pernah membezakan bantuan dihulurkan meskipun di kawasan kalah.

Menurutnya, sekiranya perkara itu berlaku, penduduk akan terima impak dan ia tidak adil kepada rakyat.

“Mereka kini sudah menjadi kerajaan, jadi perlu bertindak lebih aktif dan lebih cepat terutama dalam membantu penduduk memerlukan yang ditimpa musibah.

“Seperti baru-baru ini kejadian ribut berlaku di kawasan ini kita yang turun dulu. Kerajaan negeri terdahulu meskipun kawasan kalah, bantuan segera tetap diberikan cepat kerana ada peruntukan,” katanya. Hahasrin berkata, setakat ini kerjasama diterima dengan agensi-agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih baik.

Katanya, apa diharapkan hubungan baik itu akan kekal berterusan dalam usaha membantu penduduk memerlukan.

Mengulas mengenai cabaran beliau selaku wakil rakyat pembangkang katanya, tidak dinafikan gerak kerja selepas menjadi pembangkang ada perbezaannya.

“Walaupun dah berbeza kedudukan, kita tetap teruskan khidmat di sini. Gerak kerja memang ada berbeza sebab kita tak dapat peruntukan, tapi kita masih teruskan kerja-kerja kebajikan.

“Penduduk ditimpa musibah kita datang beri semangat, ada kematian kita ziarah, moreh, kenduri dan pelbagai lagi kita terus dekati penduduk dengan cara itu, dan kita akan terus buat terbaik untuk rakyat di sini,” katanya yang turut memaklumkan rata-rata warga Dun berkenaan kecewa dan sedih apabila kerajaan BN tumbang. (SINAR HARIAN)

Leave a Reply