UMNO Perlu Penyatuan Tahap Tinggi – Razali

UMNO Perlu Penyatuan Tahap Tinggi – Razali

KUALA LUMPUR 21 Mei – Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO memerlukan tahap penyatuan yang tinggi serta tidak berpuak-puak, tiada agenda lain selain daripada menyusun pembinaan semula parti dengan bersungguh-sungguh.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, perancangan pembinaan se­mula parti perlu bersesuaian dengan peredaran zaman dan dijangka mengambil tempoh yang lama.

Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar berkata, pe­mimpin dan para ahli juga dinasihatkan tidak perlu terburu-buru untuk bertindak serta melaksanakan segala-galanya secara serentak sebaliknya mempunyai peringkat-peringkat tertentu.

“Dalam keadaan ini, UMNO perlu penyatuan dan kerjasama yang paling tinggi. Tiada puak, tiada agenda selain untuk menyusun pembinaan semula parti ini.

“Buat masa ini, tumpuan lain yang perlu dititikberatkan UMNO adalah untuk memastikan perjalanan mesyuarat ca­wangan yang berlangsung pada bulan Ramadan ini dapat dibuat dengan lancar dan mematuhi peraturan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Razali, jika untuk menyegarkan semula UMNO, anak-anak muda perlu memainkan peranan mereka dalam parti.

Katanya, anak-anak muda ini perlu mengutarakan pandangan bernas mereka selain mengambil tampuk kepimpinan UMNO di peringkat cawangan masing-masing.

“Malah, pemilihan atau penawaran untuk memimpin parti yang hilang segala kuasa ini juga perlu dibuka pada setiap peringkat kerana UMNO dalam proses pemulihan dan pemimpin yang di pilih nanti hendaklah dalam kalangan mereka yang mampu dan berpengalaman untuk membina semula UMNO serta mencari kembali kekuatan yang hilang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab. Aziz Kaprawi menambah, kesetiaan dan mengutamakan parti perlu ada dalam setiap hati para pemimpin dan ahli UMNO pada masa ini.

Malah, katanya, lompat parti setelah berlaku kekalahan bukan menjadi budaya UMNO kerana tindakan itu sebenarnya hanya menguji daya kesetiaan para pemimpin parti dan ahli.

“Pada waktu ini, saya berharap jangan ada perpecahan dalam parti sebaliknya lakukannya secara muafakat. Semoga kita dapat lebih berpadu walaupun terdapat pemimpin UMNO yang melompat parti demi kepentingan sendiri,” ujarnya.

Leave a Reply