Hishamuddin Ajak Ahli Insafi Kesilapan Lalu

Hishamuddin Ajak Ahli Insafi Kesilapan Lalu

KUALA LUMPUR 18 Mei – Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hari ini mengajak semua ahli UMNO untuk menginsafi kesalahan lalu untuk melangkah maju ke hadapan.

Malah beliau turut menyeru supaya semua ahli tidak sesekali mengalah dan menyerah dan mahu mereka bertekad untuk bangkit demi memulihkan parti.

“Kita harus gunakan segenap ruang dan peluang bermula dengan perkara paling asas iaitu pergerakan di peringkat akar umbi.

“Mesyuarat di peringkat cawangan akan bermula tidak lama lagi dan inilah peluang terbaik kita untuk memperbetulkan tekad perjuangan kita.

“Yang lebih penting, mesyuarat tersebut bukanlah tempat untuk kita berhentakkan, menuding jari dan bergaduh sesama sendiri. Sebaliknya ia merupakan ruang untuk kita muhasabah dan perbaiki setiap kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri masing-masing,” katanya dalam entri terbaharu akaun Facebooknya yang dimuatnaik sejam lalu.

Dalam pada itu, beliau juga mahu ahli mengambil hikmah disebalik apa yang terjadi supaya UMNO mampu bangkit dengan lebih bermaruah.

“Disebalik dugaan ini, ia juga memberikan kita peluang untuk melihat sendiri wajah sebenar siapa kawan, siapa lawan, siapa musang berbulu ayam.

“Yang kekal bersama, itulah pejuang sebenar yang sudi mengangkat perjuangan ini kembali ke tempat asalnya.

“Selagi saya masih bernafas dan waras, saya akan mengerah seluruh kudrat dan kemampuan yang saya ada untuk membantu parti kita ini kembali ke landasan perjuangannya yang sebenar,” luahnya.

 

Leave a Reply