Muhasabah Dan Bangkit Dari Kekalahan Untuk UMNO Yang lebih Kuat

Muhasabah Dan Bangkit Dari Kekalahan Untuk UMNO Yang lebih Kuat

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ulang tahun UMNO ke 72 tahun disambut sederhana namun meriah dengan kehadiran pemimpin dan juga akar umbi yang masih terus setia dan mahu melihat kebangkitan UMNO.

Rata-rata yang ditemui melahirkan harapan agar semua ahli dan pemimpin UMNO bermuhasabah dan menjadikan peristiwa ‘hitam’ ini sebagai satu penyuntik semangat kebangkitan kembali UMNO.

Bagi Ketua UMNO bahagian Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri, beliau sedar semua pihak termasuk dirinya masih bersedih namun itu bukanlah penghujungnya.

“Parti kita kalah kebetulan dekat dengan hari ulang tahun UMNO ke 72 tahun. Oleh itu sewajarnya kita semua muhasabah diri. Banyak hikmah di sebalik peristiwa hitam yang berlaku ini, hanya Allah yang tahu.

“Kita wajar muhasabah diri untuk bangkit semula dalam memperjuangkan UMNO yang terbukti dulu dan kini sentiasa memperjuangkan agama Islam, orang Melayu dan negara tanpa mengetepikan perlembagaan dan memberi keistimewaan kepada bangsa lain.

“Kita masih banyak kelebihan tetapi kita kena tengok balik mana kesilapan kita. Rakyat telah beri ‘signal’ menolak kita tetapi itu bukan pengakhirannya. Mereka bagi peluang untuk kita muhasabah diri,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ketua UMNO bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin turut melahirkan nada yang sama.

“Kita jangan sesekali putus asa namun kita kena muhasabah diri, ‘go back to basic’. Saya dapat nasihat dari ahli jemaah walaupun mereka bukan ahli UMO tetapi mereka tidak mahu UMNO putus asa.

“Kali ini mereka tidak sokong UMNO kerana ada sebab yang tertentu tapi bagi mereka UMNO masih relevan. Jadi kita jangan putus ada, kita ‘rebrand’ UMNO. Jadikan ini sebagai semangat untuk jadi parti yang lebih kuat bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” tegas beliau.

Bekas pemimpin UMNO Tan Seri Muhammad Muhammad Taib pula bertegas beliau ‘tidak akan kemana-mana’ di zaman kejatuhan UMNO dan akan terus bersama UMNO.

“UMNO masih utuh walaupun dalam keadaan hari ini tetapi pada hakikatnya UMNO memang masih utuh. Kekuatan itu nampak jelas malam ini dengan kehadiran orang ramai… Akar umbi yang datang… tunjuk moral, semangat dan ini sangat penting.

“Parti ini bukan ditinggalkan tetapi semakin kukuh dan saya percaya ini akan berterusan, lama-kelamaan akan ada peningkatan dari segi perpaduan antara semua peringkat. Mereka yang masih berminat dan mahu melihat UMNO kembali berkuasa akan datang untuk bantu UMNO bangkit.

“Saya sendiri akan tetap sebagai ahli UMNO… tidak akan ke mana-mana,” ujar beliau.

Exco Pergerakan Wanita UMNO Datuk Hasnah Salam pula melahirkan rasa terharu apabila masih ramai Pemuda dan Puteri yang masih setia bersama UMNO.

“Secara peribadi saya membawa anak muda dan Puteri untuk bersama-sama malam ini untuk membiarkan mereka merasai masih dihargai. Ini bukan untuk saya sebab saya sudah ‘habis’ tetapi ini untuk masa depan mereka.

“Saya rasa bersyukur kerana mereka masih mengambil tahu… mereka sudah mula berkerja mencari apa yang perlu dilakukan seterusnya. Saya juga bersyukur dengan semangat perjuangan anak muda ini. Mungkin kali ini bukan rezeki kita tetapi kita akan bangkit,” tegas beliau. – MediaUMNO

Leave a Reply