Hishammuddin Terima Ratusan Panggilan Luar Negara

Hishammuddin Terima Ratusan Panggilan Luar Negara

KLUANG 9 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendakwa menerima ratusan panggilan masuk telefon bimbit daripada pemanggil luar negara yang tidak dikenali bermula pagi ini.

Panggilan itu diterima sejak pukul 6.26 pagi sehingga beliau selesai mengundi di Sekolah Agama Taman Sri Lambak di sini pukul 11.20 pagi bersama-sama isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah.

“Pagi tadi, apabila bangun, telefon saya ‘jammed’ dengan macam-macam panggilan yang saya tidak kenal pun.

“Kalau telefon saya boleh ‘jammed’ kerana sedemikian rupa, saya harap tidak ada unsur-unsur yang hendak buat sesuatu yang menghuru-harakan,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di sekolah tersebut.

Menurut Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, setakat ini beliau melihat panggilan telefon berkenaan tidak memberikan kesan negatif terhadapnya.

Mengenai pengalaman beratur lebih sejam untuk menunggu giliran mengundi, beliau sambil tersenyum menja-wab, perkara itu merupakan pengalaman biasa baginya.

“Pengalaman biasa tiap-tiap kali, macam orang biasa. Tiada beza dengan mereka (pengundi lain) cuma hari ini panas sedikit,” katanya.

Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Sembrong akan dicabar Penyelaras PKR Parlimen Sem-brong, Onn Abu Bakar dalam pertandingan satu lawan satu pada kali ini.

Pertembungan antara cucu pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar itu dengan Onn yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Putrajaya itu adalah kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pada PRU-13 menyaksikan Hishammuddin menewaskan Onn dengan majoriti 10,631 undi. -Utusan

 

Leave a Reply