Tiada Istilah `Giant Killer’ Di Ledang

Tiada Istilah `Giant Killer’ Di Ledang

TANGKAK 2 Mei – Barisan Nasio­nal (BN) tidak gentar berdepan nama-nama besar gabungan pembangkang PKR yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen Ledang.

Pengerusi BN Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, pihaknya akan memberikan ‘pukulan maut’ kepada calon PKR yang kononnya giant killer.

Sehubungan itu, beliau mahu kesemua 454 anggota Jaringan Rakyat (JR) dan JR Plus BN di De­wan Undangan Negeri (DUN) Gambir memastikan semua pe­ngundi di kawasan tersebut keluar mengundi pada 9 Mei ini.

“Jika semua pengundi putih keluar mengundi, keempat-empat calon BN iaitu Parlimen Ledang, DUN Serom, DUN Tangkak dan DUN Gambir akan menang,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan jentera JR di Dewan Serbaguna, Bukit Gambir di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah calon BN bagi kerusi DUN Serom, Datuk Rahim Talib; calon DUN Gambir, Datuk M. Asojan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Sahrin Jani dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ledang, Khairin Nisa Ismail.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertan­ding di DUN Gambir menentang Pengerusi MIC negeri, Datuk M. Asojan.

Hamim yang juga calon BN Parlimen Ledang yakin jika semua jentera BN dapat memainkan peranan untuk menjaga pengundi putih, semua calon BN akan mendapat kemenangan le­bih cemerlang dalam PRU-14.

Beliau mengingatkan ahli parti tentang bahaya yang menunggu mereka khususnya bagi orang Melayu PRU-14 ini dimenangi oleh pembangkang.

“Sekali kita kalah, jangan harap kita akan dapat kembali. Mereka akan meracik atau memecahkan kawasan untuk mewujudkan kawasan pilihan raya baharu yang memihak kepada mereka.

“Mereka akan melakukannya dengan tipu helah termasuk memberikan alasan konon atas kuasa rakyat,” katanya. – Utusan

 

Leave a Reply