Pembangkang Perlu Patuhi Peraturan

Pembangkang Perlu Patuhi Peraturan

PONTIAN 3 Mei – Parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14 ) perlu mematuhi segala etika dan peraturan termasuk pemasangan bahan kempen serta semasa berceramah.

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sekiranya semua pihak akur dengan arahan serta pekeliling tidak akan timbul sebarang perkara tidak diingini.

Beliau berkata, pilihan raya yang diadakan lima tahun sekali bukan medan untuk menyalahkan mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sebuah badan bebas yang menguruskannya.

“Jika Barisan Nasional (BN) boleh mematuhi segala peraturan, kenapa pihak pembangkang tidak boleh berbuat demikian dan sering mempertikaikan keputusan yang telah diambil sebelum ini.

“Jangan cemari sistem pilihan raya di negara ini dengan tindakan dan perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku termasuk menghina sesuatu kaum,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Persisir, Jalan Sekolah Arab di sini hari ini.

Semalam gambar Pengerusi gabu­ngan pembangkang PKR, Tun Dr. Mahatir Mohamad yang dipasang pada sebuah papan tanda di Ayer Hitam telah dipotong penguatkuasa SPR kera­na tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengenai penggunaan gambar pemimpin parti.

Ahmad yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian berkata, peraturan yang dikeluarkan oleh SPR bertujuan bagi memastikan perjalanan pilihan raya termasuk waktu berkempen berjalan dengan lancar.

“Jangan salahkan SPR sekiranya tindakan terpaksa diambil bagi mengawal keadaan supaya tidak timbul sebarang kekecohan yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kaangan rakyat,” katanya sambil menegaskan supaya bahan kempen yang dipasang tidak dirosakkan walaupun tidak bersetuju dengan seseorang pemimpin kerana telah dibenarkan di bawah Akta Pilihan Raya.

Ahmad memberitahu, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Pontian berikutan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipasang di Kampung Pulai Sebatang, dekat sini telah dirosakkan.

“Pihak yang merosakkan bahan kempen jelas tidak dapat memahami sistem demokrasi di negara ini yang membenarkan mereka memasang bahan kempen mengikut SOP SPR,” katanya. (UM)

Leave a Reply