Nilai Rekod Tanjung Piai

Nilai Rekod Tanjung Piai

PONTIAN 2 Mei – Pengundi di kerusi Parlimen Tanjung Piai harus menilai rekod cemerlang Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut semasa mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Calon BN di kerusi Parlimen berkenaan, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, beliau yakin masyarakat di kawasan berkenaan bijak menilai antara rekod cemerlang kerajaan sedia ada berban­ding calon pembangkang yang ha­nya ‘muncul’ pada musim pilihan raya sahaja.

“Saya harap pengundi menilai rekod pencapaian dan agenda pembangunan 15 tahun di Parlimen Tanjung Piai. Rekod sedemikian tentunya tiada bagi dua-dua calon pembangkang bertanding yang menggunakan isu anak tempatan tetapi hanya menampilkan diri ketika musim pilihan raya,” katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rimba Terjun, di sini.

Jeck Seng yang juga anak tempatan di Batu 2 Kampung Sawah mengakui amat memahami keada­an sebenar keperluan masyarakat tempatan berbanding dua lawannya.

“Antara program yang dijalankan ialah pemberian beras, mi­nyak masak dan tepung kepada seramai 5,400 penerima pelbagai kaum melibatkan kos kira-kira RM500,000 bagi tempoh lima tahun.

“Walaupun nampak kecil tetapi usaha ini membantu mengurangkan kos sara hidup golongan yang memerlukan termasuk pemberian pada musim perayaan,” katanya.

Pada PRU-14, Jeck Seng ditentang calon Pas, Nordin Othman dan calon PKR, Dr. Farid Md. Rafik.

Jeck Seng bertekad bekerja le­bih gigih untuk menemui segenap lapisan masyarakat serta menjelajah ke semua PDM bagi menjelaskan hala tuju serta peran­cangan BN Parlimen Tanjung Piai untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Tumpuan akan terus diberikan dalam bidang kebajikan, membina pusat hemodialisis, meningkatkan sosioekonomi, pelaburan industri kecil dan sederhana (IKS) selain meneruskan program tuisyen dalam talian.

“Bagi program tuisyen dalam talian seramai 1,700 pelajar dari tujuh sekolah menengah telah mendapat manfaat dengan kos perbelanjaan kira-kira RM2.5 juta tahun ini,” katanya. (UM)

 

Leave a Reply