Muhyiddin Tidak Gugat Kekuatan BN Johor – Hishammuddin

Muhyiddin Tidak Gugat Kekuatan BN Johor – Hishammuddin

HULU SELANGOR, 2 Mei – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan faktor yang boleh menggugat kekuatan Barisan Nasional (BN) di Johor, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn.

Beliau berkeyakinan pengundi dan anggota BN mampu melihat dari perspektif yang lebih luas dalam memilih calon dan parti yang dapat menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Beliau berkata sejarah juga telah beberapa kali membuktikan perkara ini termasuk nasib yang menimpa pengasas dan Presiden pertama Datuk Onn Jaafar itu sendiri yang gagal mendapat sokongan akar umbi setelah keluar daripada UMNO pada 1951 kerana perbezaan ideologi.

Onn Jaafar yang juga datuk kepada Hishammuddin kemudiannya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya dan kemudiannya Parti Malaya yang kedua-dua akhirnya terkubur kerana gagal menraih sokongan rakyat.

“Jika kami bimbang tentang Johor, saya tidak akan berada di Hulu Selangor hari ini. Pada masa lalu, sejarah telah membuktikan, malah pengasas UMNO, apabila rakyat melihat pada gambaran yang menyeluruh, pengasas itu juga akan dikesampingkan.

“Itu yang berlaku kepada (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tun Musa Hitam. Jadi apa yang membuatkan Tan Sri Muhyiddin begitu istimewa?,” katanya kepada wartawan selepas melawat kawasan Parlimen Hulu Selangor dan DUN Batang Kali di Taman Bunga Raya di sini, hari ini.

Muhyiddin yang merupakan bekas Timbalan Presiden UMNO sebelum dipecat pada tahun 2016 akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh. Beliau juga akan bertanding di kerusi DUN Gambir.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong berkata BN Johor tidak mengambil mudah tentangan yang dilontarkan pembangkang, malah ia telah meningkatkan gerak kerja jentera pilihan rayanya dalam mendepani cabaran pihak lawan untuk memenangi PRU ini.

Mengulas mengenai jentera BN dalam tempoh berkempen yang kini memasuki hari kelima, beliau berkata ia berjalan lancar dengan kerjasama yang diberikan semua pihak adalah baik.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin berkata calon-calon bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dan DUN adalah pasukan impian bagi membawa perubahan yang baik kepada pengundi di kawasan ini.

Hishammuddin berkata, barisan calon BN yang ditampilkan di Hulu Selangor juga mencerminkan kepelbagaian kaum yang menjadi teras kepada keutuhan persefahaman dan perpaduan dalam parti dan negara.

Beliau juga mahu BN mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor dan dua DUNnya iaitu Batang Kali dan Hulu Bernam manakala usaha perlu dilipatgandakan untuk merampas semula DUN Kota Kubu Baharu daripada pembangkang.

Turut hadir pada majlis itu penyandang kerusi Parlimen Hulu Selangor Datuk P. Kalamanathan, penyandang DUN Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, penyandang DUN Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar dan calon DUN Kota Kubu Baharu Datuk Wong Kun Mun.

 

Leave a Reply