Jangan Menyibuk Kawasan BN

Jangan Menyibuk Kawasan BN

KOTA TINGGI 3 Mei – Calon-calon pembangkang diminta terlebih dahulu memperbetulkan sistem atau meningkatkan kesejahte­raan rakyat di negeri-negeri yang ditadbir mereka sebelum ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique meminta pemimpin pembangkang supaya tidak menyibuk di kawasan lain termasuk di negeri ini kerana kerajaan BN sentiasa mengambil berat dan menjaga kepentingan serta kebajikan semua kaum.

“Jangan ganggu kesejahteraan yang sedang dinikmati oleh rak­yat khususnya di Parlimen Kota Tinggi. Tiada istilah tsunami Melayu di Kota Tinggi, malah soko­ngan masyarakat Melayu di sini amat padu dan kuat kepada BN.

“Jangan beranganlah kali ini akan berlaku tsunami. Kita pilih biru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili dan DUN Johor Lama serta Parlimen Kota Tinggi,” katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tembioh di sini malam tadi.

Yang turut hadir calon-calon BN bagi kerusi DUN Sedili, Rasman Ithnain dan DUN Johor Lama, Rosleli Jahari.

Halimah yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mengingatkan calon-calon pembangkang di kawasan ber­kenaan supaya tidak membuang masa turun dan ‘mengganggu’ rakyat kawasan berkenaan.

Menurutnya, pemimpin pembangkang hanya ingin menang dalam pilihan raya umum (PRU) tetapi tidak memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat.

“Sebagai contoh Ahli Parlimen di Kluang (Liew Chin Tong), saya bagi contoh sebab saya duduk di Kluang. Dia menang tapi tak pernah bagi perkhidmatan kepada masyarakat Kluang.

“Dia (duduk sekejap), dia ce­cah je lepas tu dia belah. Kali ni dia nak bertanding di Parlimen Ayer Hitam pula,” katanya sambil memberitahu pemimpin pembangkang hanya mahu mengelirukan rakyat dan menabur kebencian terhadap pemimpin negara,” katanya.

 

Leave a Reply