Haliza Yakin Rampas Batu Pahat

Haliza Yakin Rampas Batu Pahat

BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Batu Pahat, Haliza Abdullah optimis misi merampas semula kawasan itu daripada pembangkang akan berhasil pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau yakin, pengundi di kawasan berkenaan sudah bijak menilai parti yang mampu menjaga kebajikan penduduk di situ selepas lima tahun di bawah wakil rakyat pembangkang.

Menurutnya, wakil rakyat yang diberikan kepercayaan untuk membawa suara mereka sebelum ini langsung tidak mempamerkan komitmen dan mendekati masyarakat setempat.

“BN berkeyakinan besar untuk menawan semula Batu Pahat, banyak faktor yang memungkinkan perkara itu antaranya gerak kerja jentera yang mantap selain terus memberikan kefahaman kepada pengundi.

“Kita juga percaya pengundi Cina yang sebelum ini dikatakan beralih arah akan kembali kepada BN setelah melihat rekod kerja wakil rakyat mereka pilih sebelum ini,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Dalam masa sama, Haliza yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat tidak menolak kemungkinan faktor calon turut memainkan peranan kepada kemenangan BN.

Katanya, kesemua pusat daerah mengundi (PDM) di Parlimen itu juga melaksanakan tugas masing-masing yang melancarkan lagi proses mendekati pengundi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ketua UMNO Bahagian berkenaan, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi tewas kepada wakil PKR, Datuk Mohd. Idris Jusi dengan majoriti 1,524 undi.

 

Leave a Reply