Insiden Ayer Hitam, Pembangkang Putar Belit Cerita – Ka Siong

Insiden Ayer Hitam, Pembangkang Putar Belit Cerita – Ka Siong

BATU PAHAT 1 Mei – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong kecewa apabila gabu­ngan pembangkang PKR memutar belit cerita di Ayer Hitam, di sini malam tadi kononnya dimulakan penyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga calon BN kerusi Parlimen Ayer Hitam berkata, mereka mengubah cerita hingga sanggup menuduh mangsa yang merupakan penyokong BN memulakan provokasi sedang­kan sebenarnya perkara itu dimulakan penyokong PKR

Akibat daripada cerita palsu itu katanya, netizen dan pihak yang tidak berada di lokasi kejadian bukan sahaja mengecam mang­sa yang merupakan warga emas malah mereka memberikan pelbagai komen jelik hingga keluarganya tertekan.

“Sebaliknya, apa yang berlaku adalah warga emas itu diserang dan ditolak dari pentas oleh penyokong pembangkang ketika mangsa sedang menurunkan bendera PKR yang dipacakkan pembangkang di pentas utama dalam acara BN.

“Bayangkan jika penyokong BN memacakkan bendera parti dalam acara dan pentas kempen pembangkang, sudah pasti rusuhan akan terjadi.

“Ini sangat jelas provokasi melampau dan tindakan keji terhadap BN sedangkan kita tidak pernah mengganggu sebarang acara yang diadakan mereka atas dasar hormat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat MCA Ayer Hitam, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 8.50 malam tadi, warga emas berkenaan, Tan Hong Hi @ Ting Hong Hi, 77, yang juga aktivis BN, ce­dera rusuk kiri apabila ditolak jatuh dari pentas setinggi lebih satu meter oleh seorang penyokong PKR.

Situasi itu berikutan selepas tindakan warga emas menurunkan bendera PKR pada acara BN di Dataran Yong Peng Street tidak disenangi penyokong pembangkang.

Warga emas dari Taman Kota, Yong Peng itu masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dan Ka Siong turut melawatnya pada malam tadi di hospital berkenaan.

Ka Siong berkata, pembangkang mula mencetus provokasi terhadap dirinya dan penyokong BN sejak hari pertama kempen dimulakan dengan pelbagai jeritan dan ejekan.

Selain itu ujarnya, segala gerak-geri beliau dalam setiap program kempen dirakam, namun beliau menasihatkan penyokongnya supaya bertenang dan tidak termakan umpan.

Beliau kecewa apabila suasana kempen PRU-14 yang aman sebelum ini dicemari kekerasan dan provokasi melampau sehingga membabitkan kecederaan.

“Mengapa sampai begitu sekali pembangkang berpolitik sehingga sanggup guna kekerasan dan membawa budaya

samseng dalam kalangan masyarakat kita yang hidup penuh harmoni, ini tidak boleh diterima sama sekali dan wajar dikecam.

“Dalam sejarah saya bertanding di Ayer Hitam sejak tahun 2004, inilah pertama kali berlaku provokasi melampau, budaya politik samseng yang dibawa dan diguna pakai pembangkang,” katanya.

 

Leave a Reply