Edar Risalah Fitnah, BN Johor Bahru Lapor Polis

Edar Risalah Fitnah, BN Johor Bahru Lapor Polis

JOHOR BAHRU 2 Mei – Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran risalah yang berbaur fitnah terhadap kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Laporan polis itu dibuat Setiausaha Barisan Nasional (BN) Johor Bharu, Abu Talib Alias di Balai Polis Sentral, ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan di sini pukul 1.59 petang tadi.

Abu Talib berkata, pihaknya menyedari tentang penyebaran risalah berkenaan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang sejak semalam dan dipercayai diedar bersama-sama risalah kempen calon gabungan pembangkang PKR bagi DUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng.

“Jika dilihat kepada karikatur (Datuk Seri Najib) yang terdapat dalam risalah tersebut, ia menunjukkan tuduhan tidak berasas dan fitnah berniat jahat untuk memburukkan parti BN tanpa sebarang bukti.

“Ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Justeru, kami memohon pihak berkuasa terutamanya anggota polis dan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk melakukan siasatan, merampas bahan-bahan berunsur fitnah ini dan menghalang penyebaran risalah ini dengan segera,” katanya selepas membuat laporan polis berkenaan di sini sebentar tadi.

Selain tertera karikatur Najib yang juga Pengerusi BN sedang memegang bendera putih, risalah dalam bahasa Mandarin itu juga mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rasuah terbesar dunia dan pegawai-pegawai yang terlibat dengan rasuah itu perlu ditangkap. – Utusan

Leave a Reply