Permas Hab Johor Bahru Timur

Permas Hab Johor Bahru Timur

PASIR GUDANG 30 April – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, di si­ni merupakan antara komponen penting dalam Iskandar Malaysia dan menjadi nadi utama Pasir Gudang.

Permas sebagai sebuah kawasan industri dan pelaburan komersial sedang pesat membangun untuk muncul sebagai kawasan pertumbuhan penting di negeri ini, sekali gus bakal me­nyaingi bandar raya Johor Bahru atau bandar raya Iskandar Puteri.

Semua infrastruktur asas untuk mencapai pelan strategik dan jangka panjangnya disediakan di Permas. Namakan sahaja kemudahan yang diperlukan seperti lebuh raya, pejabat kerajaan, kemudahan pendidikan dan kesihatan, semuanya ada di Permas.

Terbaharu pembangunan pa­ling penting sudah tentu Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang mula beroperasi pada 31 Disember tahun lalu.

UTC ke-21 itu dibangunkan dengan kos RM23 juta menempatkan 14 agensi kerajaan di bawah satu bumbung yang memudahkan bukan sahaja penduduk Permas tetapi di Pasir Gudang dan sekitarnya berurusan dengan pihak kerajaan.

Satu lagi kejayaan dan pembangunan paling membanggakan di DUN berkenaan adalah pembinaan Bandar Satelit yang sedang dalam pembikinan sejak 2016 dan dijadualkan siap pada 2023.

Perancangan itu merupakan antara bahagian penting dalam projek pembinaan Bandar Alam Masai di kawasan seluas 208 hektar. Secara tidak langsung akan mengubah pekan Masai sebelum ini yang dikenali dengan jolokan sebagai bandar koboi.

Projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar RM4.2 bilion itu dibangunkan oleh Era Universe Development Sdn. Bhd. dan dijangka bakal menjadi hab terbaharu Johor Bahru Timur.

Kedudukan Masai berhampiran kawasan perindustrian men­­jadikannya pilihan tepat untuk dibangunkan sebagai bandar baharu yang menjadi pelengkap kepada Pasir Gudang secara am­nya.

Semua pembangunan tersebut tidak dinafikan adalah hasil daripada arkiteknya, iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kebetulan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013.

Permas kini bergerak lebih terkehadapan daripada laluan yang sepatutnya apabila mampu menawarkan pelbagai kemudahan, antaranya mempunyai hotel bertaraf lima bintang, dua sta­dium di bandar Pasir Gudang, Tanjung Puteri Golf Resort, kawasan perumahan moden atau mewah seperti Eco Tropics di Kota Masai selain Senibong Cove dan Meridin Bayvue.

Begitu juga Hospital Penawar dan Hospital KPJ Pasir Gudang terletak dalam DUN berkenaan yang sememangnya cukup po­pular. AEON Permas Jaya dan Pasar Raya Mydin Taman Rinting, Masai pula menjadi pilihan utama penduduk tempatan berbelanja.

Bagi penduduk berpendapatan rendah, banyak kawasan perumahan baharu, antaranya Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) dibina untuk memastikan keperluan golongan itu dipenuhi selain terus tinggal dalam kawasan bandar.

Mungkin ramai yang mengenali kawasan Senibong sebagai tempat makanan laut tetapi tidak sedar bahawa Pusat Giat Mara Pasir Gudang di Permas merupakan pusat kemahiran berteknologi tinggi dan terkini di negara ini.

Dalam tempoh beberapa tahun lagi Permas mampu muncul sebagai lokasi strategik untuk pelaburan dalam pelbagai bidang, sekali gus melonjaknya sebagai kawasan atau aset penting Iskandar Malaysia. © Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply