Ketepi Sentimen Negatif, Menangkan Calon BN

Ketepi Sentimen Negatif, Menangkan Calon BN

PONTIAN 30 April – Jentera pilihan raya diingatkan supata berpegang kepada konsep Barisan Nasional (BN) dan tidak melakukan tindakan yang boleh menjejaskan kemenangan calon-calon parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengarah Pilihan Raya Parlimen Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad meminta semua pihak mengetepikan sebarang sentimen negatif.

“Jentera pilihan raya yang di­sifatkan sebagai pejuang perlu mempunyai jiwa besar dan bersedia menentang pihak lawan daripada terus memikirkan perkara yang sudah diputuskan pucuk pimpinan parti.

“Sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan oleh pucuk pimpinan parti BN, saya berasa kurang senang dengan tindakan sesetengah pihak yang masih memainkan isu agihan kerusi setelah pencalonan dibuat,” katanya.

Beliau yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut berkata demikian dalam majlis pelancaran laman sesawang BN Parlimen Pontian@bnpontian di sini malam tadi.

Yang turut hadir, calon BN kerusi Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Muhammadan Ahmad dan Setiausaha UMNO Bahagian Pontian, Samat Tasrip.

Hasni berkata, lawan sebenar adalah gabungan pembangkang PKR dan bukan sesama sendiri kerana calon yang dipilih bertanding adalah atas nama parti dan bukan individu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian menambah, pu­cuk pimpinan parti mengambil kira banyak faktor sebelum seseorang calon dipilih mewakili BN.

“Jangan kita menambah kekusutan dan mencurah minyak yang akhirnya akan merugikan parti bukan untuk masa kini mungkin bagi tempoh masa yang panjang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak berhati-hati de­ngan penularan berita tidak benar dalam media sosial yang bertujuan menghakis sokongan rakyat serta melemahkan jentera parti. © Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply