Jangan Percaya Calon ‘Setahun Jagung’

Jangan Percaya Calon ‘Setahun Jagung’

MUAR 30 April – Para pengundi dinasihatkan supaya tidak memberi kepercayaan terhadap calon ‘setahun jagung’, lebih-lebih lagi apabila individu terbabit didapati tidak tahu tentang latar belakang kawasan yang ditandinginya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, BN sebaliknya mempu­nyai sejarah dan rekod pencapai­an yang baik dengan berlandaskan perjuangan yang ikhlas serta jujur.

Menurut beliau, pengundi juga tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak serta ‘menari’ mengikut irama mereka yang menggunakan pelbagai cara untuk mengambil kesempatan.

“Kita pun dah serik melihat Muar sebagai medan ujian pihak yang nak cuba nasib, saya percaya rekod dan sejarah akan menunjukkan dan menyedarkan bahawa bukan sahaja golongan dewasa tetapi yang muda bahawa BN adalah wadah terbaik untuk bela rakyat di Muar.

“Harap anak muda kita tak terpengaruh dengan sensasi dan isu emosi kerana akhirnya mereka akan kembali ke kawasan masing-masing selepas kalah nanti dan yang tinggal hanya wakil rakyat BN berkhidmat untuk kita di Muar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jalinan Kasih di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang juga calon BN kerusi Parlimen berkenaan serta calon BN Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Maharani, Datuk Ashari Sarip dan calon DUN Sungai Ba­lang, Zaiton Ismail.

Terdahulu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan ketika berucap meminta pe­ngundi di Muar tidak risau dengan saingan calon parti lawan yang bertanding di situ.

“Apa kita nak takut sangat, yang kita nak lawan bukan singa merah (tetapi) anak kucing sahaja, malah yang di depan ini pula semua harimau biru.

“Anak kucing ini tak tahu pun isu apa perlu dibela di sini, dia tak boleh pun mempengaruhi orang dewasa (jadi) dia dekati golongan muda sebab mereka ini tak tahu apa wakil rakyat kita lakukan di sini,” katanya.

Tambah beliau, calon sedemikian perlu ditentang habis-habisan kerana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan pentas bagi mereka yang ingin bereks­perimen.

 

Leave a Reply