Harga Rumah Mampu Milik Johor Kekal Jika BN Terus Diberi Mandat

Harga Rumah Mampu Milik Johor Kekal Jika BN Terus Diberi Mandat

JOHOR BAHRU, 30 April — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini memberi jaminan bahawa harga bagi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan terus dikekalkan sekiranya parti itu diberi kepercayaan mentadbir negeri ini sekali lagi.  Menteri Besar Johor itu berkata RMMJ yang berharga antara RM80,000 dan RM150,000 tersebut  bertepatan dengan Dasar Perumahan Rakyat Johor sekali gus merupakan agenda utama kerajaan negeri.

“Harga RMMJ tidak akan dinaikkan sekiranya kerajaan negeri di bawah BN diteruskan, kita juga akan hebatkan lagi dengan menyediakan lebih banyak RMMJ.

“Saya juga akan pastikan agenda utama kerajaan negeri ini akan terlaksana dan pemaju juga dinasihatkan agar sentiasa akur dengan dasar berkenaan bagi membantu kerajaan merealisasikan impian ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah RMMJ Taman Pulai Mutiara, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata beliau mahu mengurangkan kerisauan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dengan menyediakan sebanyak mungkin RMMJ bersesuaian dengan pembangunan yang semakin rancak di Johor.

Katanya bagi merealisasikan visi membina lebih banyak rumah mampu milik, kerajaan negeri Johor juga sedang melaksanakan pengambil alihan semula tanah sebanyak 300 ekar (120 hektar) di sekitar negeri ini.

“Kalau kerajaan BN dikembalikan melalui sokongan kepada calon, kita akan banyakkan lagi ambil tanah untuk bina rumah mampu dimiliki rakyat di Johor hari ini,” katanya.

RMMJ Taman Pulai Mutiara menyediakan 570 unit rumah bagi pakej A dan 1,846 unit bagi pakej B Terletak kira-kira 30 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai,  RMMJ itu dijangka siap sepenuhnya pada  2020.

Leave a Reply