Dituduh Upah Samseng, MCA Labis Lapor Polis

Dituduh Upah Samseng, MCA Labis Lapor Polis

LABIS 30 April – MCA Bahagian Labis membuat laporan polis dan melantik peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, S. Ramakrishnan semalam.

Ketua Bahagian MCA Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, tindakan tersebut diambil selepas tempoh 24 jam yang diberikan kepada Ramakrishnan untuk menarik balik tuduhan beliau kononnya MCA Labis menggunakan samseng mengganggu kempen pembangkang dan mengugut penduduk yang menyokong pembangkang ketika berkempen baru-baru ini berakhir.

Tee Yong mendakwa, pihak­nya mempunyai bukti Rama­krishnan menuduh MCA Labis menggunakan samseng membuat kekacauan semasa siri ce­ramah dan kempen pembangkang di sini seperti disiarkan dalam akhbar Cina yang memfitnah BN.

“Saya ingin nasihatkan pihak pembangkang agar menilai kembali sejarah, tidak pernah berlaku sebarang kejadian tidak diingini semasa pilihan raya umum sebelum ini di kawasan Parlimen Labis.

“Ini membuktikan pengundi serta penduduk di sini lebih suka hidup dalam keadaan tenteram dan harmoni. Jadi tidak perlulah pihak pembangkang menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan soko­ngan di sini,” katanya yang juga Penyandang kerusi Parlimen Labis kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Pusat Hemodialisis Muhibbah Labis, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tee Yong mencabar calon PKR DUN Bekok itu untuk menamakan senarai calon Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri jika pembangkang berjaya menawan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau menyifatkan tindakan Ramakrishnan yang menamakan calon PKR DUN Tenang bakal dilantik sebagai Menteri Besar dan beliau sendiri sebagai seorang Exco kerajaan negeri nanti hanya angan-angan kosong.

“Ramakrishnan juga dilihat sukar untuk menjalankan tugas sebagai seorang Exco kerajaan negeri kerana dia juga tidak mempunyai pengalaman menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sebelum ini,” katanya. -Utusan

 

Leave a Reply