Kecuaian Sendiri, Tapi Salahkan Orang Lain – Razali

Kecuaian Sendiri, Tapi Salahkan Orang Lain – Razali

MUAR 29 April – Kecuaian gabungan pembangkang PKR yang tidak memenuhi beberapa syarat sehingga beberapa calon mereka ditolak penyertaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya berlaku jika mereka benar-benar bersedia.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, syarat-syarat dan peraturan yang terkandung di bawah Akta SPR telah dijelaskan berulang kali bagi memudahkan mereka yang terlibat termasuk para pencadang dan penyokong.

“Saya nak beritahu selepas beberapa pilihan raya kita sudah melalui beberapa transformasi termasuk memudahkan calon-calon bertanding untuk mengisi borang masing-masing, tidak ada benda boleh terbatal kalau setakat borang.

“Tetapi syarat dalam Perlembagaan Persekutuan seperti (calon) tidak hilang akal atau dikenakan hukuman denda dan penjara serta diisytiharkan bankrap tiada siapa boleh tolong.

“Sesiapa sahaja boleh tanding sebab kita nak suburkan sistem demokrasi. Siapa nak bertanding serah borang tapi kalau perkara yang ada dalam peraturan tak boleh ikut susahlah, macam mana nak jadi pemimpin selepas itu nak salahkan orang sahaja tahu,” katanya selepas program Transformasi Sekolah 2025 di Sekolah Kebangsaan Parit Jawa, sebentar tadi.

Yang turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail.

Hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semalam menyaksikan gabungan pembangkang PKR agak caca-merba apabila terdapat calon mereka ditolak SPR kerana bankrap, dikenakan hukuman mahkamah serta tidak membawa kad pengenalan dan pas calon ketika di pusat penamaan.

Keadaan itu turut menampakkan gabungan berkenaan seolah-olah tidak boleh menerima hakikat mengenai kecuaian sendiri sehingga mula dijadikan modal untuk mereka berkempen dengan menyerang SPR dan BN.

 

Leave a Reply