Jason ‘Selesa’ Satu Lawan Satu

Jason ‘Selesa’ Satu Lawan Satu

JOHOR BAHRU- Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Iskandar Puteri (sebelum ini Gelang Patah), Datuk Jason Teoh Sew Hock tidak gentar dengan pertembungan satu lawan satu menentang penyandang kerusi ber­kenaan, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA me­rangkap Pengerusi MCA Bahagian Gelang Patah yang mesra dipanggil ‘Jason’ itu berkata, meskipun pertama kali dicalonkan, tidak timbul soal bimbang untuk menentang pemimpin veteran DAP.

“Saya rasa comfortable (selesa) one to one (satu lawan satu). Saya sudah bekerja selama 23 tahun, sudah tiba masanya saya serah kepada pengundi (untuk membuat keputusan,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Skudai di sini hari ini.

Nama calon yang bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Pute­ri itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Parlimen Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud pukul 11.40 pagi.

Jason berkata, pengundi perlu memberi sokongan kepadanya untuk berkhidmat dan mem­bela nasib penduduk di Parlimen berkenaan.

“Bukan timbulnya isu bimbang atau tidak (menentang Kit Siang). Bagi saya paling penting adalah you (wakil rakyat) buat kerja atau tidak,” katanya.

Sementara itu, kerusi DUN Kota Iskandar (sebelum ini Nusajaya) menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A. Malik mewakili BN menentang calon PKR, Dzulkefly Ahmad dan Salehuddin Mohd. Dahiran (Pas).

Kerusi DUN Skudai pula melibatkan pertembungan dua penjuru antara Ketua MIC Gelang Patah, Datuk S. Kanan dengan calon PKR, Tan Hong Ping selepas calon Bebas, K. Kanafatty menarik diri.

 

Leave a Reply