Tekad Rampas Kerusi DUN Puteri Wangsa

Tekad Rampas Kerusi DUN Puteri Wangsa

JOHOR BAHRU – Tiga gandingan baharu dan lama Barisan Nasional (BN) Bahagian Tebrau tekad mempertahankan kerusi Parlimen Tebrau dan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Tiram selain merampas kembali DUN Pu­teri Wangsa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang juga penyandang dan calon DUN Tiram berkata, beliau percaya gandingannya bersama-sama calon kerusi Parlimen Tebrau, Datuk Seri Dr. Hou Kok Chung dan calon kerusi DUN Puteri Wangsa, Abdul Aziz Tohak mampu memberi kejayaan kepada BN untuk ketiga-tiga kerusi berkenaan.

“Saya sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di DUN Tiram dan sekali lagi diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan untuk mempertahankan kerusi ini.

“Saya yakin dengan perkhidmatan terbaik yang telah diberikan oleh BN di kawasan DUN Tiram, kita mampu mempertahankan kerusi tersebut,” kata­nya dalam majlis pengumuman calon BN Johor di Ibu pejabat UMNO negeri, di sini kelmarin.

Maulizan berkata, Kok Chung yang merupakan anak jati negeri ini dan pernah menjadi pensyarah Universiti Malaya (UM) selama 17 tahun pula bukan nama yang asing apabila dipindahkan kerusi daripada Parlimen Kluang ke Tebrau.

Katanya, begitu juga dengan Abdul Aziz yang merupakan muka baharu, namun dijangka mampu membantu merampas kembali kerusi DUN Puteri Wangsa yang disandang Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin.

“Ketiga-tiga kerusi ini mempunyai seramai 123,000 pengundi dan kita jangka dengan kekuatan jentera parti dan sokongan pe­ngundi putih, kita mampu menarik separuh daripada jumlah pengundi untuk menyokong calon BN,” katanya.

 

Leave a Reply