Haliza Berterima Kasih Kepada Mohd. Puad Tidak Tanding Bebas

Haliza Berterima Kasih Kepada Mohd. Puad Tidak Tanding Bebas

BATU PAHAT 27 April – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Batu Pahat, Haliza Abdullah berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi kerana tidak bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat itu yakin Mohd. Puad masih meletakkan parti sebagai keutamaan dalam perjuangannya.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mohd. Puad yang merupakan ketua bahagian saya sejak 2004 apabila saya mula aktif dalam UMNO.

“Saya juga mengharapkan kerjasama daripada beliau untuk terus bersama dalam menghadapi PRU ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon untuk Parlimen Batu Pahat di sini sebentar tadi.

Haliza bakal bertanding menentang calon gabungan pembangkang PKR, Mohd. Rashid Hasnon dan calon PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed untuk kerusi parlimen itu.

Sebelum ini, Mohd. Puad dijangka akan bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Batu Pahat selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ekoran namanya tidak disenarai sebagai calon BN bagi kerusi parlimen itu.

Leave a Reply