Adik-Beradik Bertanding Di Parlimen Tebrau

Adik-Beradik Bertanding Di Parlimen Tebrau

JOHOR BAHRU 28 April – Hubungan adik-beradik tidak menghalang dua calon untuk bertanding atas tiket parti yang berbeza.

Datuk Maulizan Bujang daripada Barisan Nasional (BN) dan adiknya, Mazlan Bujang dari gabungan pembangkang PKR masing-masing akan bertanding dalam kawasan Parlimen Tebrau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Maulizan, 55, akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram buat penggal keempat manakala Mazlan, 53, di DUN Puteri Wangsa.

Menurut Maulizan, meskipun bertanding dalam parti berbeza, namun hubungan adik-beradik antara mereka langsung tidak terjejas.

“Kami adik-beradik. Walau apa pun pandangan kami berbeza dalam politik tapi hubungan kami tetap baik.

“Namun, apabila bertanding dalam PRU, saya tidak boleh memberi sebarang nasihat buat beliau (Mazlan) kerana saya selaku pengerusi BN Tebrau harus memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon Parlimen Tebrau di sini, hari ini.

Sementara itu, Mazlan yang merupakan calon baharu berkata, sebagai adik, dia sentiasa menghormati Maulizan dan sering menziarahi abangnya itu di rumah.

Namun katanya, apabila bertemu, mereka hanya berbual mengenai isu keluarga dan tidak menyentuh isu politik.

“Dalam politik kita ada pendirian masing-masing. Apabila berjumpa kita masih boleh berbual. Ini bukan zaman dahulu sampai nak berperang gara-gara pandangan berbeza,” katanya.

 

Leave a Reply