Siap Segera Pembinaan Klinik Kesihatan Benut

Siap Segera Pembinaan Klinik Kesihatan Benut

PONTIAN 25 April – Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri ini diminta mengarahkan kontraktor yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan Klinik Kesihatan Benut segera menyiapkan projek tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, projek tersebut telah mencapai 98 peratus siap.

Namun hingga kini bangunan dua tingkat berserta kuarters kakitangan masih belum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan bagi membolehkannya beroperasi.

Menurutnya, kos keseluruhan projek tersebut yang berharga RM30 juta mula dibina pada tahun 2012.

“Kami berharap, klinik kesihatan itu dapat beroperasi pada Jun depan bagi membolehkannya tidak terus dilabelkan sebagai ‘projek sakit’ kerana telah terlalu lama dinantikan oleh penduduk tempatan.

“Ini kerana mengikut jangkaan projek tersebut sepatutnya siap pada 2015, iaitu dalam tempoh tiga tahun pembinaannya,” katanya selepas menghadiri majlis Kenduri Sekampung Muafakat Johor di Kampung Permatang Sepam, Benut dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pemba­ngunan Keluarga Darul Ta’zim, Dr. Khalid Jusoh; Penghulu Mu­kim Benut, Hisham Mazlan dan Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Benut, Buang Saadon.

Hasni yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut berkata, apabila beroperasi nanti, klinik berkenaan mampu memberikan perkhidmatan kepada kira-kira 20,000 penduduk di kawasan berkenan.

“Ini secara tidak langsung dapat memudahkan penduduk mendapat perkhidmatan kesihatan tanpa perlu ke Klinik Pontian mahupun Klinik Kesihatan di Pekan Rengit atau Simpang Renggam.” katanya.

Selain memberi rawatan pesakit luar, klinik tersebut turut dilengkapi dengan klinik pergigian, kemudahan x-ray, klinik kanak-kanak dan ibu mengan­dung, katanya.

Leave a Reply