RM20j Naik Taraf Klinik Palong Timur

RM20j Naik Taraf Klinik Palong Timur

SEGAMAT 25 April – Kerja-kerja menaik taraf Klinik Desa Palong Timur dekat sini menjadi klinik kesihatan akan bermula awal tahun depan dengan kos kira-kira RM20 juta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerja-kerja itu perlu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk tempatan selain terdapat keperluan mendesak.

“Kerja-kerja menaik taraf klinik ini dijangka siap hujung tahun depan. Sebenarnya peruntukan menaik taraf klinik desa ini menjadi klinik kesihatan jenis lima dengan 26 unit kuarters ini diluluskan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri pada 2014.

“Namun terdapat beberapa isu teknikal sehingga menyebabkan kelewatan kerana proses pembinaan klinik ini di bawah Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan bukannya Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kem Nak Sihat dan majlis perasmian Klinik Kesihatan Sementara Palong Timur di pekarangan Anjung Belia Felda Palong Timur, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Senator Datuk Zahari Sarip; penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Salehuddin Abd. Aziz dan Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahman Salleh.

Menurutnya, projek perolehan, tender dan pemilihan kontraktor juga telah dibuat dan dalam tempoh menunggu pembinaan klinik itu siap, satu klinik kesihatan sementara disediakan.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Segamat berkata, klinik sementara itu akan memberi segala perkhidmatan klinikal dan perubatan yang mencukupi kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Perkhidmatan juga sudah bermula dan klinik sementara ini juga sudah ada doktor, jururawat, pegawai farmasi, makmal dan sebagainya serta dilengkapi dengan ambulans sama seperti klinik kesi­hatan yang lain,” katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan berterima kasih kepada pihak pengurusan Felda itu yang membenarkan balai raya dan bilik mesyuarat untuk dijadikan pe­nem­patan klinik sementara.

Beliau berharap penduduk di kawasan itu dapat memanfaatkan pembinaan klinik kesihatan baharu kerana sebelum ini mereka terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Batu Anam dengan jarak sejauh 24 kilometer dari tanah rancangan tersebut.

“Berikutan kedudukan Felda ini yang terletak agak jauh di pedalaman dan bersempadan dengan Negeri Sembilan, ada penduduk di sini yang sanggup mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Palong 4, 5 dan 6 di Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN

 

Leave a Reply