905 Unit RMMJ Siap Dibina Menjelang 2020

905 Unit RMMJ Siap Dibina Menjelang 2020

KLUANG 25 April – Syarikat pemaju KSL Hol­dings Berhad akan membina 905 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Mengkibol di sini yang akan siap sepenuhnya pada 2020.

Pegawai Daerah Kluang, Noh Ibrahim berkata, Taman Mengkibol yang mempunyai keluasan tanah sebanyak 249 ekar itu meliputi pembangunan bercampur.

Menurut beliau, dahulu taman tersebut adalah antara projek terbengkalai yang dibangunkan semula.

“Sehingga tahun 2020, jumlah RMMJ yang akan dibina oleh KSL Holding Berhad sebanyak 905 unit. Sebanyak 376 unit siap dibina, 191 unit dalam pembinaan dan selebihnya dijangka siap sepenuhnya pada 2019 dan 2020.

“Projek terbengkalai yang di­bangunkan semula dan diambil alih oleh Khoo Soo Lee Holdings Berhad yang merupakan satu syarikat pemaju hartanah terbesar di Johor.

“Walaupun tanah ini merupakan tanah terbengkalai tetapi syarikat tersebut telah mengambil tanggungjawab untuk meneruskan pembinaan RMMJ,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Taman Mengkibol dan penyam­paian Hak Milik Tanah Kampung Sri Muafakat (CEP Niyor) dan Kampung Seri Tenggara, di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut dihadiri Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday.

Noh berkata, perumahan RMMJ yang dibina dalam taman itu mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Katanya, bagi Fasa 1 dan Fasa 2 berjumlah 268 unit, pembe­li akan memiliki rumah bersaiz 20’x55’ iaitu bersamaan 1,100 kaki persegi dengan harga RM140,000.

“Bagi Fasa tiga berjumlah 108 unit, pembeli akan menerima rumah bersaiz 1,040 kaki persegi dengan harga RM140,000.

“Pembinaan rumah RMMJ ini, menunjukkan syarikat pemaju tersebut menyokong hasrat Kerajaan Negeri Johor dengan merea­li­sasikan impian Bangsa Johor terutama rakyat Kluang dapat memiliki rumah idaman mereka,” katanya.

Dalam majlis yang sama turut disampaikan geran hak milik tanah kepada 119 penduduk Kampung Sri Tenggara.

Malah turut disampaikan geran hak milik tapak ganti kepada 73 penduduk KTM di CEP Niyor yang melibatkan 27 ekar. © Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply