38 Tawaran BN Untuk Rakyat Kluang – Jais

38 Tawaran BN Untuk Rakyat Kluang – Jais

KLUANG – BN Kluang melancarkan manifesto PRU14 yang menawarkan 38 tawaran khusus untuk rakyat Kluang yang merangkumi pelbagai aspek.

Pengerusi BN Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, menerusi tawaran berkenaan ia merangkumi 10 aspek utama iaitu projek khas, ekonomi, perumahan dan pemilikan tanah, infrastruktur awam, prihatin, pendidikan dan modal insan, kehidupan lestari, keselamatan dan perhubungan, penyampaian perkhidmatan awam serta belia, sukan dan kebudayaan.

Menurutnya, tawaran yang diberikan itu bukanlah bersifat individual semata-mata namun secara menyeluruh melibatkan semua kaum selain tidak pernah alpa untuk terus prihatin kepada golongan yang memerlukan perhatian.

“Sekiranya BN diberikan mandat untuk mewakili rakyat di Kluang, semua tawaran yang terkandung di dalam manifesto akan dijayakan tanpa sebarang prejudis dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di sini.

“Pelancaran manifesto dan jentera PRU ini kita menawarkan 38 tawaran untuk meliputi 10 sektor. Masyarakat Kluang dapat jelas dan faham tawaran-tawaran yang telah dinyatakan sekiranya BN dapat menang di ketiga-tiga kerusi di Parlimen Kluang, Dun Mahkota dan Dun Mengkibol,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto PRU14 BN Parlimen Kluang di Laman Merdeka, di sini, malam semalam.

Hadir sama calon kerusi Parlimen Kluang, Gan Ping Sieu dan calon kerusi Dun Mengkibol, Chin Sim Lai.

Dalam pelancaran itu dianggarkan kira-kira 3,000 ahli BN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir menyaksikan majlis berkenaan.

Md Jais yang juga calon kerusi Dun Mahkota berkata, pelaksanaan manifesto itu memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Katanya, bagi merealisasikannya BN Kluang perlu menang dalam PRU14 dan berharap masyarakat di kawasan Kluang dapat memberi sokongan kepada calon-calon BN yang bertanding.

“Percayalah bahawa semua akujanji ini adalah sesuatu yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan BN sekiranya diberikan mandat berdasarkan kepada pencapaian yang dijayakan sepanjang tempoh lima tahun lalu di bawah kepimpinan BN.

“Harus diingat, ketiga-tiga calon mewakili Parlimen Kluang, Dun Mahkota dan Mengkibol adalah anak jati Kluang dan bukan seperti pihak lawan yang sering berpindah randah setiap kali PRU kerana mereka bukanlah anak jati yang ingin memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Ping Sieu yang juga Ketua MCA Bahagian Kluang berkata, tawaran yang dibentangkan itu adalah hasil perbincangan bersama semua parti komponen dalam BN Kluang.

“Janji-janji tersebut merupakan satu saranan yang konkrit dan bukan lakaran impian sahaja. Inilah hasil yang dikeluarkan oleh ‘team Kluang’ khusus untuk pengundi di Parlimen Kluang.

“Kami tunjukkan keikhlasan kami untuk bangunkan kawasan Kluang dan kami mohon masyarakat Kluang memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Leave a Reply