Sokong Pilihan Parti – Jais

Sokong Pilihan Parti – Jais

JOHOR BAHRU 23 April – Kepada pemimpin negeri yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mereka diseru untuk bersama bekerja memenangkan calon Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing.

Setiausaha Badan Perhubu­ngan UMNO negeri, Datuk Md. Jais Sarday berkata, jika lima tahun dahalu ahli parti bekerja keras untuk memenangkan mereka, jadi pada pilihan raya kali ini mereka perlu buat perkara serupa.

“Kepada calon yang dipilih, tahniah semua dan bagi mereka yang tidak tercalon semula, saya harap jangan kecewa kerana masa dia jadi calon dulu orang lain dah kerja keras untuk mereka.

“Mereka perlu tunjukkan sokongan kepada calon yang dipi­lih…yang pilih itu bukan Pengerusi Perhubungan Negeri atau sesiapa tetapi adalah pilihan parti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN Johor untuk PRU-14 di Ibu pejabat UMNO negeri di sini hari ini.

Md. Jais berkata, pemilihan calon itu sudah diperhalusi di peringkat tertinggi parti sekali gus berharap semua yang terpilih atau tidak akan bekerjasama menjayakan BN di Johor.

Tambahnya, bukan bermakna tidak menjadi calon itu akan meng­akhiri masa depan karier politik masing-masing.

Ditanya apakah tindakan akan dikenakan kepada mereka mela­kukan sabotaj, beliau berkata, mana-mana ahli parti berbuat demikian secara automatik melanggar perlembagaan parti dan sudah pasti tindakan akan diambil.

“Tapi jenis tindakan yang akan diambil adalah berasaskan kepada tindakan yang mereka ambil,” katanya.

Leave a Reply