Buat Kerja Berpasukan – Razali

Buat Kerja Berpasukan – Razali

MUAR 24 April – Barisan Nasional (BN) Bahagian Muar termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dan DUN Maharani perlu bergerak bersama-sama dalam satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, Pengeru­sinya, Datuk Seri Razali Ibrahim mengajak jentera BN Bahagian Muar bekerjasama untuk memastikan BN mengekalkan kemenangan di DUN Sungai Balang selain merampas DUN Maharani yang terlepas kepada pembangkang sejak PRU-12.

“Sikap kebersamaan dalam menghadapi PRU-14 ini penting untuk mencapai kemenangan di ketiga-tiga kerusi terbabit.

“Kita tidak boleh bergerak secara berasingan, Sungai Balang dengan Sungai Balangnya, Maharani dengan Maharani sahaja, sebaliknya kita perlu bersama. Saya tidak mahu kita buat kerja sendiri-sendiri,” kata Razali yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar.

Beliau berkata demikian ketika memberi amanat kepada jentera BN Parlimen Muar di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah, Bangunan UMNO Bahagian Muar di Jalan Meriam di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau juga mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya berhenti mempersoalkan calon-calon terpilih sebaliknya menumpu kepada tugas dan tanggungjawab untuk memenangkan calon-calon BN yang bakal bertanding.

Beliau juga tidak mahu mendengar ada lagi ahli parti menutup bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) semata-mata merajuk kerana calon pilihan mereka tidak dipilih kali ini.

“Kalau nak merajuk, biarlah hari ini sahaja sebab kita ada tanggungjawab menunggu kita di depan yang perlu dilaksanakan,” ujar Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mengenai kempen-kempen calon gabungan pembangkang PKR, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kononnya mahu membawa perubahan lebih baik di Parlimen Muar, beliau berkata, sebenarnya daerah ini sudah mencapai kemajuan pesat dalam pelbagai bidang.

Jelasnya, ini termasuk dalam bidang pelancongan apabila Bandar Maharani Bandar Diraja meraih gelaran sebagai bandar pelancongan terbersih ASEAN.

Kata beliau, pencapaian itu bukan berlaku sekelip mata tetapi usaha memajukan Muar telah bermula sejak 2006 apabila Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan projek tebatan banjir kawasan bandar peringkat pertama berjumlah RM15 juta diikuti fasa berikutnya.

Leave a Reply