Wajar Tolak Politik Matlamat Halalkan Cara

Wajar Tolak Politik Matlamat Halalkan Cara

KLUANG 22 April – Gabungan pembangkang PKR yang mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara perlu ditolak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana akan menanam bibit-bibit kebencian dan memecah-belahkan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cara itu amat tidak bertanggungjawab dan digunakan untuk memastikan impian serta hasrat tercapai tanpa memikirkan kesannya.

“Kalau cara itu memecah-belahkan masyarakat, kalau cara itu untuk menabur fitnah dan menidakkan apa yang kita lakukan selama ini, ini bukan budaya (politik) yang kita nak terapkan dalam jiwa anak-anak muda kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Rela Bersama Pemimpin Parlimen Sembrong di Gelanggang Bola Keranjang, Kahang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, R. Vidyanathan dan penyandang kerusi DUN Paloh, Teoh Yap Kun.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas berkata, cara tersebut menunjukkan pemim­pin pembangkang begitu ter­desak untuk memenangi PRU-14.

Beliau berkata, perbezaan pilihan raya umum kali ini adalah peranan media sosial dan menerusinya pembangkang akan melakukan apa sahaja untuk mempengaruhi pengundi.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan kewajaran pemimpin pembangkang yang sering bertukar kerusi dan ‘melarikan’ diri selepas lima tahun dipilih di kawasan yang mereka wakili.

Penyandang kerusi Parlimen Sembrong itu mempersoalkan apakah khidmat yang diberikan kepada masyarakat sepanjang tempoh mereka menjadi wakil rakyat di sesuatu kawasan yang diwakili.

Justeru, beliau mahu rakyat terutama pengundi menolak pemimpin pembangkang yang datang menabur janji-janji kosong dan menafikan kebaikan yang sudah dilakukan kerajaan untuk manfaat rakyat.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, keberanian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan dua calon kerusi Parlimen daripada partinya sebagai menteri Kabinet sekiranya gabungan pembangkang PKR berjaya membentuk kerajaan disifatkan sebagai angkuh dan membelakangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi gabungan tersebut.

Katanya lagi, tindakan Guan Eng itu menyerlahkan sikap sebenar parti itu yang dominan dan berlagak seperti ‘abang besar’ dalam pembangkang. © Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply