ECER Janjikan Manfaat Kepada Usahawan Di Segamat

ECER Janjikan Manfaat Kepada Usahawan Di Segamat

SEGAMAT, 22 April – Pengisytiharan Segamat sebagai kawasan pertumbuhan baharu koridor pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, menjanjikan banyak manfaat kepada usahawan kecil dan sederhana di daerah berkenaan.

Penyandang kerusi Parlimen Segamat Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pelbagai projek di bawah ECER untuk daerah itu dijangka bermula pada Jun selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Antaranya, terdapat satu rancangan khusus dalam pelan ECER yang mana usahawan kecil dan sederhana akan mendapat pengurangan dalam membayar balik pinjaman perniagaan mereka dan kerajaan setakat ini sudah berbincang dengan pihak Agro Bank dan Maybank,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Himpunan 1,000 Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Serbaguna Batu Anam, dekat sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata separuh daripada kadar faedah pinjaman yang ditanggung usahawan kecil dan sederhana akan dibayar pihak ECER.

“Ini salah satu langkah kerajaan bagi mengurangkan beban yang terpaksa dipikul usahawan dalam membuat bayaran balik pinjaman mereka,” katanya.

Beliau berkata selepas PRU14, kerajaan akan mengadakan kempen penerangan agar rakyat mendapat maklumat jelas dan terperinci mengenai faedah tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau memuji kejayaan dicipta anggota Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Segamat (KUSIS) apabila berjaya membayar balik 100 peratus pinjaman perniagaan berkelompok kepada AIM.

Berikutan kejayaan itu, anggota KUSIS boleh membuat pinjaman baharu bagi mengembangkan perniagaan mereka pada skala lebih besar berbanding sebelum ini.

Pada satu majlis berasingan, Dr Subramaniam turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM650,000 oleh kerajaan untuk membina dewan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Fortrose di Gemas Baru.

Beliau berkata pembinaan dewan sekolah itu dijangka siap tahun depan dan ia akan menjadi tempat bagi penduduk di kawasan berkenaan melaksanakan aktiviti sosial selain daripada program pengajaran dan pembelajaran.

“Pembinaan dewan ini hadiah kepada penduduk setempat dan bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kualiti pendidikan sekolah Tamil berada di tahap tertinggi serta mengubah persepsi masyarakat terhadap sistem pendidikan sekolah Tamil di negara ini,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM1 bilion untuk pembangunan sekolah Tamil, dan RM50 juta tahun ini bagi kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf 157 sekolah berkenaan di seluruh negara.

Leave a Reply