Dakwaan Pembangkang Hishammuddin Abai Masyarakat Sembrong Tidak Berasas

Dakwaan Pembangkang Hishammuddin Abai Masyarakat Sembrong Tidak Berasas

JOHOR BAHRU, 21 April — Pemuda Barisan Nasional (BN) Sembrong  menafikan dakwaan pembangkang kononnya penduduk di kawasan Parlimen  Sembrong  terabai  ketika diwakili oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Pengerusinya Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata dakwaan kononnya penduduk kecewa dan tidak puas hati dengan prestasi Hishammuddin seperti  dalam aspek perumahan, pendidikan dan kesihatan  adalah tidak berasas dan jelas merupakan fitnah bagi mengabui pengundi.

Beliau mengulas dakwaan Penyelaras Parlimen Sembrong dari PKR Onn Abu Bakar yang mendakwa bahawa hasil penelitian dan turun padangnya mendapati penduduk kecewa dan tidak puas hati dengan prestasi Hishammuddin seperti  dalam soal perumahan, pendidikan dan kesihatan.

“Dia (Onn Abu Bakar)  tidak tahu apa yang berlaku di Parlimen Sembrong pada hari ini. Rakyat Sembrong tahu inilah kaedah pembangkang berpolitik. Inilah cara mereka berkempen.

“Mereka datang sekali setiap lima tahun, mengadu domba dan melontar fitnah tidak berasas bagi mengabui rakyat Sembrong supaya membenci pemimpin yang membuat kerja,” kata Onn Hafiz menerusi video yang dimuat naik di dalam laman Facebook Sembrong P153, hari ini.

Onn Hafiz berkata bagi agenda pendidikan, Hishammuddin yang merupakan bekas Menteri Pendidikan sudah membina tujuh sekolah di parlimen berkenaan sejak beliau berkhidmat di kawasan itu dengan dua daripadanya iaitu Sekolah Menengah Sains Sembrong dan Sekolah Kebangsaan Seri Kota Paloh juga merupakan sekolah yang dikategorikan cemerlang.

Beliau berkata Naib Presiden UMNO itu juga mengambil berat kebajikan guru, membantu PIBG sekolah agama, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta menyediakan pelbagai kemudahan lain untuk murid kawasan berkenaan.

Katanya dalam aspek kesihatan, terdapat Klinik 1Malaysia di kawasan itu selain Hishammuddin sendiri turut menyumbangkan enam mesin dialisis kepada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, bagi kemudahan pesakit kawasan Sembrong dan Kluang secara keseluruhan.

Bagi isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Felcra Sungai 10, Paloh pula, Onn Hafiz berkata ia sedang berjalan mengikut yang dijadualkan.

“Kalau Onn Abu Bakar  keliru, boleh jumpa kami (BN Sembrong). Jadi, saya hendak menyeru kepada pembangkang dan kuncu-kuncu Onn Abu Bakar, tolonglah matang dalam berpolitik.

“Tolong jangan menabur fitnah dan semak dahulu sebelum membuat kenyataan. Kepada rakyat Sembrong, saya yakin mereka tahu dan yakin, mereka dapat membezakan antara kaca dan permata dan siapa yang datang lima tahun sekali menangguk di air keruh” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Hishammuddin menewaskan Onn Abu Bakar dengan majoriti 10,631 undi.

Leave a Reply