Salahuddin Bakal Kalah – @KhaledNordin

Salahuddin Bakal Kalah – @KhaledNordin

MERSING, 18 Apr – Pemimpin parti pembangkang sepatutnya membawa isu yang boleh mengubah nasib rakyat, bukan memburukkan individu tertentu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan pihak pembangkang memburukkan individu setiap kali ceramah menyebabkan pembangkang tidak akan ke mana.

“Saya ingat dia (Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub) tidak akan ke mana kalau buat begitu (menyerang saya).

“Dia patut beritahu rakyat, inilah masa dia mempromosi parti dia, bagaimana dia nak ubah nasib rakyat Johor, bagaimana dia lebih baik daripada kerajaan yang ada pada hari ini.

“Dia buat begitu dia tidak akan ke mana. Itu sebabnya dia selalu kalah. Jadi, sebagai kawan saya nasihat pada dia cubalah bila jumpa rakyat, bawa benda yang boleh ubah nasib rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Inisiatif Pembangunan Daerah Mersing di Tanjung Penyabong di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled menafikan Manifesto BN Johor diumumkan Sabtu lalu meniru inisiatif kerajaan Selangor, sebaliknya berpandukan pada tiga teras utama yang merangkumi keperluan rakyat negeri itu.

“Pertama, ia untuk memenuhi kesejahteraan semua rakyat di Johor, kedua menjadikan Johor kuasa ekonomi baharu negara dan ketiga bersaing dengan yang lain termasuk Singapura. Itu tiru Selangor ke?” katanya.

Leave a Reply