Kukup Terus Maju, Sejahtera Di Bawah BN

Kukup Terus Maju, Sejahtera Di Bawah BN

TERKENAL dengan keindahan Pulau Kukup dan Penghujung Benua Asia, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup kini mengalami perubahan drastik dalam aspek pembangunan.

Usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan kini berjaya memberi limpahan rezeki dan berjaya menambah pendapatan penduduk serta memberi kemudahan yang lebih baik.

Wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD ZIKRI berpeluang menemu bual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, SUHAIMI SALLEH yang mengulas lebih lanjut mengenai pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional di kawasan berkenaan.

UTUSAN: Apakah perancangan untuk meningkatkan lagi pembangunan di DUN Kukup?

SUHAIMI: Pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Pulai dari Pontian ke Gelang Patah dijangka menjadi pemangkin pembangunan terutama dalam sektor pelancongan dengan ikon utama Penghujung Benua Asia. Usaha sedang dirancang bagi menjadikan Kukup pusat pelancongan bertaraf dunia.

Pekan Kukup Laut sinonim dengan makanan laut segar. Kerjasama semua pihak diperlukan bagi menjadikannya sebuah pekan bersih serta bebas pencemaran. Selain itu, pembinaan jalan dari Permas ke Taman Negara Tanjung Piai diharap dapat menjadi pemangkin usaha menarik pelancong. Begitu juga projek menaik taraf kemudahan Pulau Kukup yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar yang telah menampakkan kesan positif dari segi jumlah pelancong.

Apakah usaha dalam membangunkan bidang pendidikan?

Kukup akan mempunyai Kolej Vokasional Tanjung Piai (KVTP) menelan kos RM56 juta yang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). KVTP di Kampung Sungai Buntu, Pene­rok akan memberikan impak baik kepada penduduk. Selain KVTP, Kukup juga mempunyai Kolej Kemahiran Teknikal Johor (KMTJ) yang dinaik taraf daripada Sekolah Menengah Teknik Pontian dan usaha dilakukan bagi menarik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk membuka cawangan di kawasan ini.

Apakah kemudahan yang sudah dilaksanakan?

Secara keseluruhan jaringan­ jalan di DUN Kukup telah bertambah baik termasuk jalan kampung telah diturap. Begitu juga lorong yang mempu­nyai sekurang-kurangnya tiga buah rumah juga diturap tar bagi memberikan keselesaan kepada penduduk. Kemudahan elektrik dan air bersih juga dinikmati penduduk dan sekiranya ada yang tidak mampu, mereka akan dibantu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Johor (SAJ). Projek terbaharu ialah penggantian paip lama bagi bekalan air ke Pekan Kukup Laut sepanjang 1.2 kilometer.

Bagaimana dengan keperluan perumahan untuk rakyat?

Selain tumpuan di bandar Pontian dan Pekan Nanas, DUN Kukup juga ada projek perumahan seperti di Pekan Permas dan kawasan lain. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah meluluskan dua projek perumahan mampu milik di Kampung Su­ngai Burung, Pekan Nanas dan Permas, Kukup yang menawarkan 800 unit rumah bagi golo­ngan muda dan mereka yang tiada rumah. Selain itu, beberapa projek menawarkan rumah mampu milik dalam pembinaan di Kampung Rimba Terjun dan Kampung Rambah.

Kita juga menaruh harapan dengan adanya jambatan baharu menyeberangi Sungai Pulai, Mukim Serkat dan Mukim Su­ngai Karang juga berpotensi untuk dibangunkan dengan projek perumahan masa hadapan.

Bagaimana harapan BN mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai dan DUN Kukup serta merampas Pekan Nanas?

Menerusi pengalaman turun nyantuni rakyat, sokongan kepada BN meningkat. Penerimaan masyarakat dan sokongan kepada BN turut diakui pengundi Cina yang menolak kehadiran pembangkang.

Mengenai DUN Pekan Nanas, BN telah bekerja keras untuk memastikan usaha untuk meram­pas kembali kerusi tersebut berjaya dilaksanakan.

Tiada isu besar di sini kerana telah diselesaikan oleh kerajaan termasuk pemberian hak milik tanah bagi menggantikan Lesen Menduduki Sementara atau Tol.

Begitu juga dengan masalah nelayan yang terjejas di Tanjung Piai telah banyak diberikan perhatian oleh pihak kerajaan ne­geri dan Persekutuan serta menerusi tanggungjawab sosial korporat oleh pihak pemaju.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply