Terima Kasih PM Bawa Projek Rapid

Terima Kasih PM Bawa Projek Rapid

PENGERANG – Sejak tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Pengerang, penyandangnya, Datuk Seri Azalina Othman Said dilihat berjaya membawa pelbagai pembangunan baharu kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Ketika beliau memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan, antara buah tangan yang dibawa adalah pembinaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bandar Penawar.

Disusuli pembinaan Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara Desaru (KRAMSAU), yang melonjakkan nama Desaru sebagai destinasi pelancongan ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pelancongan.

Kini Pengerang sedang berdepan projek mega iaitu Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) yang ternyata berjaya melonjakkan ekonomi, bukan sahaja penduduk tetapi negeri dan juga negara.

Azalina berkata, ucapan terima kasih seharusnya diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita ucap terima kasih kepada perdana menteri kerana Parlimen Pengerang kini ada dua projek besar iaitu Rapid dan taman tema air Desaru.

“Dengan adanya projek ini secara tidak langsung penduduk dalam parlimen dan Dun Tanjung Surat serta Penawar boleh melibatkan diri dalam aktiviti sama.

“Mereka boleh menyertai aktiviti rekreasi di bawah taman tema air Desaru atau minyak dan gas di bawah projek Rapid.

“Jadi saya sekali lagi nak ingatkan masyarakat khususnya pengundi di Parlimen Pengerang untuk berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan BN,” katanya.

Bagi Azalina, tidak kisah siapa calon diletakkan sama ada di parlimen atau Dun, pihaknya tetap menyokong kerana yang penting sokongan ditunjukkan kepada parti.

Menurutnya, meskipun kawasan parlimen itu majoritinya adalah penduduk Felda, namun nasib golongan nelayan dari kawasan Pengerang tidak dilupakan.

Jelasnya, Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Sungai Musoh bernilai kira-kira RM40 juta dilihat petanda baik dalam membantu ekonomi nelayan di kawasan berkenaan.

“Rata-rata apabila kita berjumpa nelayan, mereka sangat berterima kasih kepada kerajaan BN. Ini kerana kerajaan sentiasa beri bantuan, selain peka dan prihatin dengan isu-isu yang berlaku terhadap warga nelayan,” katanya.

Azalina berkata, Parlimen Pengerang yang sekarang dikatakan ‘lubuk pekerjaan’, kini menjadi tumpuan golongan muda merebut peluang pekerjaan yang ada.

Malah katanya, beliau mendapati ramai penduduk berhampiran terutama dari kawasan Parlimen Kota Tinggi dan Parlimen Tenggara bekerja di Pengerang.

“Apabila saya ke Bandar Penawar, saya dapati ramai orang luar tempatan, generasi muda luar dari Pengerang berminat bekerja di sini, sebab itu isu rumah jadi isu besar terutama dari segi sewa.

“Malah sekarang banyak aktiviti pembangunan di sini dapat dilihat secara sama rata. Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden kerana sekarang kita ada pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang.

“Secara tak langsung isu-isu tempatan dari segi masalah parit, longkang, masalah penempatan banyak boleh dilihat PBT. Dahulu kita kena pergi ke Kota Tinggi, perjalanan itu agak jauh. Kini tidak lagi dan isu berkaitan Kerajaan Pusat atau negeri yang kecil boleh diselesaikan PBT,” katanya. – Sinar

Leave a Reply