BN Banyak Bantu Penduduk Gelang Patah

BN Banyak Bantu Penduduk Gelang Patah

CUKUPLAH hampir lima tahun Ahli Parlimen DAP di Iskandar Puteri (dahulu dikenali Parlimen Gelang Patah) Lim Kit Siang menjadi wakil rakyat atas nama sahaja memandangkan beliau sememangnya tidak mengambil peduli apa yang berlaku kepada rakyat yang memilihnya pada PRU-13, jauh sekali memperjuangkan nasib rakyat.

Sepanjang tempoh itu juga, para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang memainkan peranan membantu penduduk di situ dengan pelbagai program dan sumbangan, khususnya bagi golongan yang menghadapi masalah dan memerlukan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, NURUL HUDA HASSAN dan RADIAH SAORI serta jurugambar, Raja Jaafar Ali, Pengerusi BN Parlimen Iskandar Puteri, Mohammad Khairi A. Malik berkongsi cerita suka dan duka penduduk Gelang Patah selain cara BN membantu dan mendekati rakyat. Beliau turut berkongsi apa sebenarnya yang dilakukan Penasihat DAP itu di kawasan berkenaan.

UTUSAN: Selepas lima tahun diwakili ahli Parlimen pembangkang, apa yang telah mereka lakukan khusus untuk penduduk di Iskandar Puteri?

MOHAMMAD KHAIRI: Kita memahami tuntutan masyarakat di Parlimen Iskandar Puteri adalah sama seperti tuntutan masyarakat di Parlimen lain yang diwakili oleh wakil rakyat BN, namun Ahli Parlimen di Iskandar Puteri tidak bawa sebarang peruntukan. Di Johor Bahru, Segamat dan kawasan yang BN menang terdapat wakil rakyat yang ada peruntukan tersendiri untuk bantu rakyat. Disebabkan itu kita BN melalui UMNO bekerja kuat mencari dana dan peruntukan untuk menjalankan program membela pengundi-pengundi di Iskandar Puteri.

Adakah benar Lim Kit Siang jarang balik kawasan untuk mem­bela nasib pengundi di Iskandar Puteri?

Semua kaum tahu Kit Siang hanya balik apabila menghadapi perayaan tertentu iaitu Tahun Baharu Cina dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Kalau bulan puasa dia hanya bawa kurma, manakala Tahun Baharu Cina dia datang bawa buah limau. Jika dia bertanggungjawab, dia patut tampil dalam sesi ucapan di Parlimen dan memaklumkan mengenai isu yang sedang diperkatakan oleh orang tempatan.

Tetapi sayangnya ini tidak pernah berlaku selama lima tahun. Dia makan gaji hasil kemenangan daripada orang yang mengundi. Berapa banyak gaji dia tetapi dia hanya bawa dua biji limau dan kurma sahaja untuk orang Iskandar Puteri. Jika dia kata tiada duit, sekurang-kurangnya kalau ada penduduk di Iskandar Pu­teri ditimpa musibah, seharusnya dia pulang bertanya khabar. Kita ada banyak tempat dilanda ribut, bumbung tercabut serta meninggal akibat kemalangan, tetapi dia langsung tidak datang menunjukkan simpati jauh sekali nak bawa duit peruntukan.

Apa yang BN lakukan di Iskandar Puteri memandangkan Kit Siang seperti tidak bertanggungjawab ke atas pengundi?

Bukan nak puji tetapi BN yang sering turun padang memperjuangkan nasib pengundi di Iskandar Puteri. Setiap kali di­timpa musibah, kami yang ke hadapan untuk membela nasib mereka bukan hanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi sejak selepas PRU-13. Kami buat tabung bagi memastikan dapat membela mereka yg memerlukan, selain itu kita juga memastikan program berkaitan pembangunan modal insan se­perti kemahiran diadakan.

Kalau pengundi di Iskandar Puteri memilih BN pada PRU-14, apa yang akan BN lakukan di Iskandar Puteri?

Kita akan ada juga manifesto khusus untuk pembangunan di Iskandar Puteri. Kalau kita menang, janji-janji kita sangat dekat dengan mereka, contohnya kita rancang untuk bina pasar dan dewan serta ada beberapa perkara lagi yang akan kita umumkan kelak. Ini kita punya manifesto dan kita yakin kita mampu untuk jayakan.

Apa nasihat yang ingin diberikan kepada pengundi di Iskandar Puteri pada PRU-14?

Saya harap pengundi di Gelang Patah beri kita peluang. Takkanlah nak beri peluang lagi kepada Kit Siang ataupun kepada calon-calon pembangkang lain yang baru nak tunjuk muka dalam tempoh tiga minggu terakhir nak mengundi. Beri kita peluang ke­rana kita percaya kalau mendapat mandat, banyak lagi perkara baik yang akan kita berikan kepada pengundi di kawasan Parlimen Iskandar Puteri ini. Kami sudah bekerja kuat untuk beri yang terbaik dan kini, bantulah kami untuk mendapat tanggungjawab lebih besar bagi meneruskan tradisi membela rakyat.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply