Jangan Jadikan Johor Sebagai ‘Negeri Transit’ – Samsol Bari

Jangan Jadikan Johor Sebagai ‘Negeri Transit’ – Samsol Bari

AYER HITAM, 16 April – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali berkata pihaknya sedia berdepan dengan sesiapa sahaja daripada kalangan parti pembangkang yang akan meletakkan calon pada pilihan raya umum yang akan berlangsung dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau kedatangan calon luar khususnya kalangan mereka yang  bertukar kawasan sebenarnya menggambarkan sikap calon parti pembangkang yang suka berpindah randah dan mengkhianati amanah serta kepercayaan kepada mereka sebelum ini.

“Inilah pembangkang…’hit and run’…Jangan jadikan Johor Negeri Transit. Kita adalah Johor Darul Takzim. Menang kemudiannya tinggal. Pada saya mereka yang pindah randah ini mereka telah mengkhianati amanah dan kepercayaan oleh pengundi-pengundi yang telah menyokong mereka. Ini adalah gambaran pakatan pembangkang ketandusan calon-calon yang berwibawa

“Bagaimana dengan pelaksanaan segala janji yang dibuat..sudahkah mereka berkhidmat dengan baik sebagai wakil rakyat sepertimana yang dilaungkan kononnya berjiwa rakyat dan macam-macam lagi. Namun dihujung lima tahun tinggal begitu sahaja. Apa maknanya…

“Pada saya adalah perkara menjijikkan kalau bertanding dua atau tiga tempat. Ini menggambarkan mereka sendiri tidak yakin. Keduanya mepersendakan rakyat. Saya sebagai wakil rakyat tiga penggal nak jaga kawasan ini pun cukup sibuk. Ini perkara yang sewajarnya dihentikanlah dan pihak yang boleh menghentikan ini tidak lain dan tidak bukan iaitu rakyat sendiri,“ katanya dalam wawancara ekslusif bersama UMNO-Online, baru-baru ini.

Sebelum ini, Pengerusi Dap Johor Liew Chin Tong dilaporkan akan bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam untuk berdepan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong. Liew Chin Tong sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kluang.

Ayer Hitam merupakan kubu MCA di Johor dan Dap dilaporkan menganggapnya sebagai kunci kemaraan pakatan harapan pada pilihan raya umum akan datang. Pada PRU 2013, Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menewaskan calon Pas Hu Pang Chaw dengan majoriti 7,310 undi.

Samsol yang juga Ketua UMNO Ayer Hitam seterusnya menegaskan perlu diingatkan BN adalah sebuah parti yang berkhidmat sentiasa dan sepanjang masa untuk rakyat termasuklah di Ayer Hitam.

“Jangan ingat BN ini macam parti tunggul yang tidak bekerja dan mengharapkan nasib semata-mata. Kita adalah parti yang berkhidmat sejak hari pertama ditabalkan dan diberi kepercayaan oleh rakyat untuk membentuk kerajaan.  Hasilnya boleh dilihat …perkembangan boleh ditengok dan dinilai.

“Dalam hal ini mereka boleh bercita-cita daripada segi retoriknya…kalau…kalau. Asyik kalau menang dan secara analisanya..faktanya..angkanya ia tidak begitu rupa. Ia adalah satu pcywar.. peperangan saraf oleh pembangkang. Realitinya tidak begitu. Kita lebih fokus kepada perkhidmatan serta kerja dan amanah yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah kesepakatan BN di Ayer Hitam menjadi asas kepada seluruh jentera parti dalam usaha mendepani cabaran daripada pihak lawan.

“Nak lihat hebatnya BN  dan semangat setiakawan lihatlah dalam Ayer Hitam. Dengan 58 peratus pengundi Melayu tetapi kita menerima dan memenangkan calon daripada parti komponen.

“Tidak ada BN tanpa MCA. Tidak ada BN tanpa MIC, Gerakan, MyPPP dan lain-lain rakan-rakan komponen. Sebab itu kita melihat usaha untuk mengalahkan MCA bagi orang Cina pada saya adalah tidak sihat.

“Kesetiakawanan kita telah terbukti daripada kemerdekaan lagi dan itu yang kita warisi dan kita terus pertahankan dan itulah kekuatan kita di Malaysia yang menikmati perbezaan ini bukan sebagai satu pemecah tetapi sebagai perkara yang kita raikan dan nikmati bersama.

“Jangan bakar sentimen kemajmukan kaum di Malaysia ini kerana kesannya adalah amat buruk sekali kerana kita telah buktikan bahawa walaupun Melayu majoriti dalam negara ini tetapi ianya memberi kesejahteraan kepada semua kaum yang ada di Malaysia,“ katanya.

Pada masa yang sama Samsol turut melihat keyakinan yang ada pada BN dengan berpaksikan kepada keihlasan serta toleransi menjadi sandaran kepada masyarakat di Ayer Hitam untuk membuat pilihan.

“Dalam BN paksinya keihlasan dan toleransi…itu sahaja. Yang penting pada masa yang sama kita berlaku adil pada semua berdasarkan kontrak sosial dan perlembagaan negara kerana perlembagaan bukannya dibuat oleh satu pihak tetapi dibentuk dan dipersetujui serta disepakati oleh semua pihak pada waktu itu.

“Dan ini adalah tonggak kepada negara Malaysia yang ada ini. Apa pun kesetiakawanan, toleransi dan kesetiaan terhadap hubungan yang ada adalah resepinya,“ ujarnya.

Untuk rekod Parlimen Ayer Hitam mempunyai dua kawasan Dewan Undangan negeri iaitu Semarang dan Yong Peng. Pada pilihan raya umum lalu, BN menang di Parlimen dan DUN Semarang manakala kalah di Yong Peng kepada Dap. UMNOOnline

Leave a Reply