Pantau Ceramah Sebar Fitnah

Pantau Ceramah Sebar Fitnah

PONTIAN 15 April – Polis diminta memantau semua ceramah yang diadakan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terutama­nya yang lebih gemar menyerang keperibadian seseorang, sebalik­nya tidak berucap mengenai hala tuju parti yang diwakili.

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, maklumat, berita dan mesej yang dipaparkan dalam media sosial juga perlu diberikan perhatian.

Beliau berkata, tindakan pihak tertentu yang terus menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas tidak sewajarnya berlaku sekira­nya semua parti politik mengetahui cara dan adab berkempen.

“Menjelang PRU-14, keghairahan untuk mencari salah atau menutup kelemahan masing-masing menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk me­raih sokongan pengundi,” katanya selepas merasmikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sri Jawa, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata, semua pihak yang menyebarkan berita, mesej atau maklumat palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen tersebut memperun­tukkan hukuman denda tidak me­lebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” tegasnya.

Selain itu, katanya, mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-dua-nya, jika sabit kesalahan. © Utusan Melayu (M) Bhd 

Leave a Reply